Isnin, 3 Mac 2014

Bicara kes Anwar saman Khairy ditetapkan 9-11 Jun

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari bermula 9 Jun untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
  
Pesuruhjaya Kehakiman S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan J. Leela mewakili Anwar, dan peguam Jeffery John mewakili Khairy.
  
Mahkamah menetapkan 9 hingga 11 Jun untuk perbicaraan manakala 27 Mac ini ditetapkan untuk pengurusan kes.
  
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.
  
Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Feb 2008.
  
Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Khairy bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu ke mahkamah itu (Mahkamah Persekutuan) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Okt tahun lepas, yang menolak permohonan Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau untuk meminda pembelaannya dalam kes saman tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: