Rabu, 5 Mac 2014

Baja cap dacing hangatkan sidang Dun Kelantan

ASLANI M & MOHD NOR YAHYA 


KOTA BHARU: Isu baja subsidi cap dacing menghangatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini. Isu itu berlarutan sehingga sesi membahas ucapan merakamkan ucapan menjunjung kasih Sultan Muhammad V.

Isu tersebut pada awalnya dibangkit Zulkifli Ali (BN-Selising) ketika mengemukakan soalan lisan, kemudian dihangat semula ketika Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang) membahas ucapan menjunjung kasih.

Sebelum itu Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) ketika mengemukakan soalan tambahan berkata, sekiranya agensi kerajaan pusat lebih telus mengagihkan baja subsidi pusat sudah tentu tidak berlaku pertindihan pengagihan baja subsidi.

“Jawatankuasa Kira-Kira Awam negeri telah memohon mendapatkan senarai penerima baja subsidi dikeluarkan kerajaan pusat daripada Kada.

“Namun sehingga sekarang senarai tersebut tidak diberi. Ini menyebabkan ada petani mendapat baja subsidi pusat dan baja dikeluarkan kerajaan negeri,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, dan Industri Desa, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan sendiri baja subsidi kerana ada petani dinafikan hak mendapat baja subsidi kerajaan pusat.

Menurutnya skim baja subsidi diwujudkan kerajaan pusat sejak 1989, bagaimanapun pada 1991 ada petani di Kelantan didiskriminasi daripada mendapat baja tersebut.

Kata beliau Laporan Audit Negara 1999 menemui kes ada petani yang sama mendapat baja subsidi keluaran pusat dan negeri.

“Sepatutnya Audit Negara atau SPRM bertindak menyelesaikan kes terbabit. Sebenarnya kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan baja subsidi memandangkan telah ada program berkenaan di bawah kerajaan pusat.

“Sepatutnya peruntukan tersebut boleh digunakan kerajaan negeri bagi tujuan lain untuk manfaat rakyat,” katanya.

Menghangatkan isu sama, Mohd Nazlan Mohd Hasbullah (PAS-Limbongan) berkata, selepas pilihan raya umum lepas seramai 33 petani yang mengusahakan sawah seluas 105 hektar di Pasir Puteh dinafikan mendapat baja subsidi di bawah kerajaan pusat.

Malah katanya, pernah seorang pemimpin Umno membuat kenyataan di Dun yang dimenangi PAS mereka tidak akan menurunkan tandatangan menyokong permohonan baja subsidi pusat.

Mohd Zaki juga memberitahu arahan tidak menyokong permohonan petani kepada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan dan Kampung Persekutuan (JKKKP) dipercayai datang daripada pemimpin bahagian Umno.

“Ketika berucap di persidangan Dun mereka memberi jaminan mahu menyelesaikan masalah tersebut tetapi di peringkat akar tidak berlaku demikian,” ujarnya. 

Adun Tawang berkata, isu pengagihan baja subsidi semakin serius menyebabkan ramai petani yang mengusahakan sawah tidak dapat kemudahan tersebut.

Katanya, pimpinan Umno di peringkat kampung (JKKKP) sengaja tidak mahu menandatangani permohonan subsidi tersebut.

Tiada ulasan: