Selasa, 4 Mac 2014

Azmin, Khalid bincang lepas PRK


Abdul Khalid dan Azmin


KAJANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengambil kata putus untuk tidak membincangkan mengenai perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR sehingga PRK Dun Kajang selesai.

"Kami tidak mahu membincangkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini, tunggu PRK selesai.

"Buat masa sekarang, kami sedang fokus pada PRK, perkara ini akan dibangkitkan semula selepas pilihan raya berakhir nanti," kata Abdul Khalid selepas perasmian Bilik Gerakan Utama PKR bagi PRK Dun Kajang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak kepimpinan telah membincangkan perkara ini secara terbuka dan ianya satu salah satu proses demokrasi yang tidak menyalahi undang-undang parti.

"Parti beri ruang kepada mereka yang mahu bertanding.

"Keputusan mereka (Azmin dan Abdul Khalid) tidak mendapat apa-apa tentangan dari saya," katanya.

Jelasnya, kedua-dua mereka berhak untuk bertanding dan ia merupakan pilihan masing-masing untuk berkhidmat pada parti.

Pada awal Mac lalu, Abdul Khalid yang juga Adun Port Klang itu mengumumkan kesediaannya untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang oleh Azmin.

Pengumuman tersebut sekaligus didakwa sesetengah pihak bakal menggugat kredibiliti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon kerusi di PRK Kajang.

Tiada ulasan: