Khamis, 13 Mac 2014
Anwar selar kerajaan guna khidmat bomoh 1Malaysia cari MH370
Sidang Dewan Rakyat hari ini gempar apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 termasuk memberi kebenaran “bomoh 1Malaysia” melakukan upacara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Anwar berkata imej negara tercemar ekoran daripada kegagalan kerajaan menangani krisis negara sehingga dikritik hebat oleh media antarabangsa.
Katanya situasi memalukan itu ditambah dengan insiden semalam di KLIA apabila kerajaan membenarkan seorang bomoh yang dibayar melakukan upacara bagi mengesan lokasi pesawat MH370.
"Ini amat memalukan. Siapa yang membenarkan, siapa yang membayar bomoh itu, ini jelas perbuatan khurafat dan kemudian media antarabangsa pula dipanggil buat liputan.
"Insiden ini perlu disiasat, ia merupakan satu perbuatan bodoh dan memalukan Malaysia sebagai negara Islam," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga memetik satu laporan akhbar media antarabangsa yang menyelar kerajaan berhubung insiden MH370.
Bagaimanapun belum habis Anwar membaca petikan laporan akhbar tersebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dilihat mencelah ketua pembangkang itu.
Ia menimbulkan kekecohan apabila ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengkritik tindakan tersebut apabila menteri tersebut tidak sepatutnya mencelah jika tidak dibenarkan Anwar.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga turut serta apabila mendakwa menteri yang juga ahli Parlimen Kota Belut tidak tahu apa yang ingin disampaikan oleh Anwar.
"Beliau ini Yang di Pertua, bukan tahu apa yang disampaikan langsung tak faham tentang bagaimana berlakunya banyak percanggahan kenyataan," kata Khalid.
Ahlid Parlimen Pandan Rafizi Ramli juga dilihat turut bangun untuk memohon pandangan Anwar mengenai kenyataan akhbar Utusan apabila menteri sendiri mengakui tidak salah menggunakan perkhidmatan bomoh.
" Apakah pandangan ahli Parlimen Permatang Pauh mengenai laporan berita akhbar Utusan yang miliknya Umno kerajaan apabila membenarkan penggunaan bomoh ini.
"Laporan itu menyatakan tidak salah menggunakan perkhidmatan bomoh ia kemudian disaksikan oleh dunia antarabangsa dan Presiden Obama sendiri kagum dengan kebodohan itu," katanya hingga menyebabkan suasana Dewan Rakyat gamat seketika.
Sementara pada sidang media selepas itu Anwar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bangun dari tidurnya dan menjadi pemimpin yang cekap menangani krisis negara.
Mengambil insiden pesawat MH370, kerajaan sepatutnya melantik hanya seorang jurucakap.
"Saya ambil contoh mengenai pencerobohan Japanese Red Army sekitar 1975 ketika krisis berjaya ditandatangani bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Osman S Cassim.
"Ketika itu hanya satu sahaja arahan dan ia amat konsisten tidak seperti sekarang apabila menteri pengangkutan cakap lain, tentera cakap lain" katanya.
Tambahnya, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuktikan bahawa beliau gagal dan tidak cekap menangani krisis negara.
Dalam sidang media itu beliau juga mengulas mengenai kehadiran bomoh, Ibrahim Mat Zain semalam.
Beliau berkata sebelum ini Najib membayar berjuta-juta ringgit kepada kepada Apco untuk bayar konsultasi imej perdana menteri itu.
"Dengan apa yang bomoh itu sudah lakukan wang berjuta-juta ringgit pun tidak mampu untuk menebus semula maruah negara," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan