Ahad, 2 Mac 2014

Air percuma di KL ringankan beban warga kota

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor yang memberikan komitmen untuk memperluas pemberian air percuma kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Bandar, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata langkah itu tentunya menguntungkan warga kota yang kini dihimpit dengan kos kehidupan di bandar yang sangat tinggi.

Katanya, peluang itu lebih cerah apabila kerajaan Selangor menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pusat bagi membolehkan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu.

 "Jika (pemberian air percuma) ini berlaku, Tan Sri Khalid menempa suatu lagi kejayaan dengan memastikan penduduk KL juga mampu menikmati kemudahan sama seperti rakyat di negeri Selangor.

"Sememangnya warga KL memerlukan kemudahan-kemudahan seperti ini bagi meringankan bebanan hidup mereka terlebih lagi dengan kenaikan kos hidup," kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau turut memuji langkah kerajaan Selangor yang akhirnya dapat mencari penyelesaian isu air yang tidak berkesudahan, dengan pengambil alihan syarikat konsesi air tersebutmelalui MoU dengan kerajaan pusat.

"Bagi saya, sudah tiba masanya kerajaan (pusat) meletakkan kepentingan rakyat di hadapan melebihi kepentingan parti dan perbezaan politik.

"Dengan demikian, semua rakyat mendapat manfaat sekiranya pemimpin negara mampu bermuafakat dan duduk semeja menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Tiada ulasan: