Selasa, 18 Mac 2014

ADUN Johor kecewa banyak soalan tidak dijawab


IMG-20140314-00041



PEKAN NENAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas, Yeo Tun Siong kesal kerana banyak soalan yang dikemukakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sejak PRU-13 lalu tidak menerima jawapan memuaskan.

Katanya, selain itu beberapa soalan bertulis yang dikemukakan ketika sesi persidangan DUN, tidak mendapat maklum balas sepatutnya.

“Saya kemukakan soalan bertulis, kita minta laporan dan perincian statistik kemalangan jalan raya mengikut kawasan atau hot spot termasuk lebuhraya negeri, tetapi jawapan yang diterima tidak secara terperinci seperti yang diharapkan,” ujar beliau.

Menurutnya, jika statistik yang diberi hanya mengambil purata kes kemalangan mengikut tahun, data itu boleh didapati di laman web PDRM tanpa perlu memberi soalan di dalam dewan.

Bukan itu sahaja, beberapa soalan lagi langsung tidak dijawab atau maklum balas baik secara bertulis atau lisan.

“Soalan yang ditulis sudah dihantar, namun jawapan tidak diterima sejak beberapa bulan, kemudian saya buat satu lagi satu surat beri peringatan agar surat terdahulu dijawab, ini melucukan,” tambah beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Yeo.

Aduan tidak dipedulikan PBT

Beliau juga kecewa apabila beberapa aduan berhubung masalah setempat juga tidak mendapat kerjasama baik daripada pegawai atasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Bila kita datang berjumpa, mereka minta buat temujanji, apabila kita telefon untuk buat temujanji, panggilan saya tidak diangkat, khidmat pesanan ringkas (sms) saya juga tidak dibalas, akhirnya temujanji tidak dapat dibuat, tidak dapat berjumpa dan aduan tertangguh,” jelas Cikgu Yeo.

“Apabila saya desak, mereka kata bercuti, cutinya kadangkala hampir seminggu. Dan yang bercuti pula bukan bos sahaja, tetapi kakitangan mereka turut hilang. Selepas itu mereka minta saya berurusan dengan pegawai bawahannya, tetapi pegawai bawahan juga tidak layan panggilan saya, ini sungguh mengecewakan,” ujar beliau lagi.

Namun beliau amat berterima kasih kepada kakitangan PBT peringkat pertengahan dan bawahan yang sentiasa memberi kerjasama atas apa jua aduan rakyat.

“Hanya kakitangan peringkat ini yang sangat proaktif bertindak apabila ada aduan daripada rakyat, pihak atasan mereka tidak begitu,” katanya.

Menurut Cikgu Yeo, situasi ini memberi gambaran bahawa wujud tekanan politik terhadap pegawai kanan PBT hingga mereka tidak dapat menjalankan kewajipan secara telus dan profesional.

“Saya tidak salahkan mereka sebab saya tahu pegawai ini mendapat tekanan politik daripada parti. Jika politik sebegini dapat dihentikan, saya percaya kakitangan awam akan bertindak lebih profesional,” jelasnya.

“Kami wakil rakyat PR Johor mempunyai cita-cita besar untuk memastikan urusan rakyat dapat dilaksana tanpa membezakan samada daripada oposisi atau pembangkang.

“Malah kita berharap sistem DUN dapat direformasikan agar ia dapat berfungsi dengan lebih baik lagi demi memastikan suara rakyat dapat didengar dan dibincangkan di peringkat DUN.” – Roketkini.com

Tiada ulasan: