Sabtu, 12 Januari 2013

Warga Malaysia di Jordan juga sambut HKR112

Harakahdaily,




JORDAN: Sebelum berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Malaysia, para penuntut dan pekerja Malaysia di Jordan telah memberikan tanda sokongan mereka dengan berhimpun di sana.

Namun rakan-rakan mereka di Mesir bernasib malang apabila dari awal lagi mereka diugut akan dibuang sebagai pelajar jika berhimpun hari ini. Himpunan Bersih 2.0 tahun lepas telah memakan ramai mangsa termasuk seorang pelajar dipecat tanpa dapat menamatkan pelajaran.

Seusai solat Jumaat di Masjid Syuhada, Mahasiswa Mu’tah Jordan dari kalangan ikhwah dan akhwat berhimpun di dataran Tarawneh dalam keadaan masih bersalji dan cuaca bersuhu 4 celcius.

"Walau dalam keadaan sejuk, kami tetap kentalkan semangat untuk mengadakan himpunan ini tanda kecaknaan kami sebagai mahasiswa terhadap Malaysia," kata seorang pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Himpunan ini bertujuan menunjukkan sokongan mereka dari negara perantauan terhadap HKR.

Mereka menuntut lapan perkara iaitu:

1) Menuntut pilihanraya adil dan bersih

2) Bebaskan tahanan ISA

3) Martabatkan bahasa ibunda

4) Menuntut pendidikan percuma

5) Selamatkan kampung warisan dan tradisi

6) Selamatkan alam sekitar

7) Pulangkan royalti minyak dan

8) Selamatkan Felda.

"Walaupun jasad kami tidak bersama untuk menyertai himpunan di Stadium Merdeka, tapi semangat dan iringan doa kami tetap bersama peserta himpunan di sana yang sama-sama mempunyai tujuan yang jelas dan jiwa anakmuda yang mahukan perubahan," katanya.

Perhimpunan ini berlangsung selama 30 minit disertai dengan ucapan daripada wakil mahasiswa dan diakhiri dengan doa wehdah serta laungan takbir.

Tiada ulasan: