SHAH ALAM - Pendirian membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu satu langkah seolah-olah merelakan ALLAH Yang Esa dalam ajaran Islam itu disekutukan, kata Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.
Oleh yang demikian katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan oleh penganut agama Islam supaya ia tidak menimbulkan sebarang keraguan di kemudian hari.
"Jika kalimah ALLAH itu digunakan dalam Bible menggantikan 'God' sedangkan 'God' dalam Bible itu adalah 'Trinity', Tuhan yang ada anak, Tuhan yang ada bapa, Tuhan yang ada isteri, jadi beerti, andai kata kita redha kalimah ALLAH digunakan dalam Bible, maknanya kita telah pun merelakan ALLAH itu bukan lagi Esa," katanya ketika diminta mengulas pendirian Pakatan Rakyat berhubung penggunaan kalimah ALLAH di kalangan bukan Islam.
Meskipun begitu katanya, penggunaan kalimah ALLAH dalam keadaan-keadaan tertentu misalnya dibolehkan kepada penganut agama lain selain Islam.
"Kalau dia nak sebut, umpamanya kalau ditanya siapakah yang menciptakan langit dan bumi, kalau dia kata ALLAH, memang betul. Kalau orang kafir itu hendak sebut ALLAH, itu terpulang kepada dialah.
"Tetapi apa yang kita tekankan di sini ialah apabila kalimah ALLAH itu hendak digunakan dalam Bible bahasa Melayu kemudian perkataan 'God' itu ditukar dengan kalimah ALLAH, itu yang kita tidak setuju. Itu nanti yang akan mewujudkan kekeliruan," tegas beliau lagi.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kelmarin bersetuju kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.
Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Hadi, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.
Oleh sebab itu katanya, penganut Islam dari berbagai bangsa tetap menyebut perkataan ALLAH apabila menterjemah ke dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.
“Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran,” ujarnya.
Anwar dan Kit Siang menyambut baik pendirian Pas itu.
Mengulas lanjut, Tamyes menegaskan sekiranya terjemahan 'God' dalam Bible itu digantikan dengan ALLAH, beliau khuatir anak muda yang cetek pengetahuan agama boleh terpesong akidahnya kelak.
"Anak muda yang cetek agama ini, mungkin sekarang belum lagi tetapi 10 tahun akan datang merasakan tidak ada beza ALLAH dalam Kristian dan ALLAH dalam Islam. Sama sahaja, kalimahnya juga sama," katanya.
Beliau turut mempertikaikan bagaimana cadangan seumpama itu boleh ditimbulkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini walhal 'God' dan ALLAH dalam kedua-dua fahaman agama, Islam dan Kristian, adalah berbeza sama sekali.
"Pertamanya ALLAH itu bukan ALLAH Trinity. Kenapa kalimah ALLAH ini hendak diguna?" soalnya.
Beliau juga tidak menolak ini adalah usaha pihak tertentu untuk mengelirukan masyarakat Islam di negara ini.
"Ada usaha untuk memutarbelitkan fahaman kalimah ALLAH itu yang hendak dibawa dan diterjemahkan ke dalam Taurat atau pun Injil supaya akhirnya manusia ini tidak dapat membezakan di antara fahaman ALLAH dalam Islam dan God dalam Kristian," katanya.
Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dalam SMS kepada Sinar Harian Online menggesa umat Islam di seluruh negara supaya memperkukuhkan ajaran Islam masing-masing daripada mengambil peduli kebebasan beragama penganut agama lain sehingga menimbulkan permusuhan.
"Adalah tidak wajar orang Islam campur tangan urusan agama lain. Ini bertentangan dengan konsep tiada paksaan dalam beragama yang ditetapkan oleh ALLAH dalam al-Quran. Juga ia menyalahi Perlembagaan Malaysia.
"Umat Islam sepatutnya memperkuatkan dakwah islamiah. Bukannya asyik mengambil sikap bermusuhan dengan penganut agama lain. Ini tidak baik untuk dakwah Islam. Hak beragama kafir zimmi dijamin oleh Rasulullah SAW. Umat Islam wajib pertahankan hak dan keputusan yang pernah Rasulullah bagi kepada mereka," katanya.
Atas dasar itu, beliau turut menyeru umat Islam di negara ini membuang sikap buruk "yang tak sukakan kedamaian antara agama di Malaysia."
"Umat Islam lemah sebab mereka suka salahkan orang lain dan malas buat tugasan sendiri khususnya dalam dakwah Islam. Bila datang agama lain, sibuk salahkan mereka. Negatif," tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan