Selasa, 1 Januari 2013

Banjir: 8 sekolah di Kelantan, Terengganu ditutup esok

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Lapan buah sekolah di Terengganu dan Kelantan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok, berikutan persekitaran sekolah masih digenangi air dan dibimbangi membahayakan keselamatan pelajar.

Meskipun dilaporkan keadaan banjir di dua negeri itu hampir pulih sepenuhnya, namun keadaan cuaca yang mendung serta hujan berterusan dan kadang-kala lebat menyebabkan paras air sungai utama di dua negeri tersebut kembali meningkat dan mungkin menyebabkan berlaku gelombang kedua banjir.

Di TUMPAT, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata lima buah sekolah di dua jajahan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok.

Menurutnya sesi persekolahan bagi empat sekolah di Tumpat dan sebuah lagi di Pasir Mas ditangguh selama sehari.

"Hari ini kita memutuskan semua sekolah itu akan ditangguhkan sesi persekolahan selama sehari. Kita tengok esok untuk menentukan sama ada ia boleh dibuka untuk hari berikut atau sebaliknya," katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan Tok Jering yang terjejas banjir.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bandang Pak Yong, Sekolah Kebangsaan Tok Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurrul Huda di Tumpat, manakala di Pasir Mas adalah SABK Diniah.

Beliau juga meminta ibu bapa agar menghubungi pihak sekolah dan mendengar hebahan melalui media massa mengenai keadaan di sekolah-sekolah berkenaan.

Hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa batang sungai utama di Kelantan mula meningkat dan berada pada paras berjaga-jaga.

Di KUALA TERENGGANU, tiga buah sekolah masing-masing dua di Daerah Hulu Terengganu dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman masih ditutup kerana dinaiki air berikutan kejadian banjir gelombang kedua, hari ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (PPNT), Zakaria Hussin berkata dua Sekolah Kebangsaan (SK) di Hulu Terengganu ialah SK Lubuk Periok yang mempunyai seramai 42 orang murid dan SK Menerong dengan 168 murid.

Sementara di Kemaman melibatkan SMK Bukit Mentok yang dikatakan mempunyai lebih 1,000 pelajar.

"Sebelum ini dua sekolah (di Hulu Terengganu) yang terletak di pinggir sungai itu sudah surut. Namun hari ini, air naik semula kira-kira empat kaki menyebabkan kedua-dua sekolah itu akan ditutup esok. Ia ada kaitan dengan banjir gelombang kedua bermula," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zakaria berkata, SK Lubuk Periok merupakan sekolah luar bandar yang mempunyai pelajar kurang daripada 100 orang.

Dijangkakan lebih banyak sekolah di kawasan rendah di negeri Terengganu mungkin akan akan ditutup sekiranya cuaca terus mendung dan hujan tanpa henti, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: