Isnin, 4 Jun 2012

Potongan 25 Peratus Cukai Pintu Untuk Flat Kos Rendah Selangor





SHAH ALAM: Pemilik pangsapuri kos rendah di Selangor yang mendiami rumah tersebut akan menikmati potongan cukai pintu sebanyak 25 peratus.

Potongan ini dibiayai daripada RM 100 juta yang dijimat Kerajaan Negeri setelah beberapa bulan mengambil alih sistem pelupusan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemilik yang layak menerima diskaun itu hendaklah mendaftar dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri masing-masing terlebih dahulu.

Kerajaan Selangor akan kemudiannya memberikan rebat kepada pemilik terlibat.

“Saya nak umumkan dari hasil penjimatan kita buat tak sampai satu tahun kita telah dapat mengurangkan kos pengendalian pelupusan sampah.

“Oleh itu saya telah berbincang untuk memberikan diskaun cukai pintu kepada pemilik rumah pangsa kos rendah,” kata Abdul Khalid.

Beliau mengumumkan ini di dalam sidang akhbar selepas menyerahkan 15 lori pemampat sampah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pagi tadi.

Bagaimanapun menurut Khalid, diskaun cukai pintu itu hanya diberikan kepada pemilik rumah kos rendah yang mendiami sendiri rumah mereka itu.

“Kita akan berkerjasama dengan JMB sesuatu pangsapuri bagi mengenal pasti samada unit kediaman kos rendah itu didiami sendiri oleh pemilik atau mereka menyewakannya,” katanya lagi.

Menurut Khalid, JMB akan memantau dan menentukan pemilik yang layak untuk menerima rebat berkenaan.

Kerajaan Selangor mengambil alih sistem pelupusan sampah dari Alam Flora pada Ogos tahun lepas.

Tiada ulasan: