SHAH ALAM : Bukan Sabah sahaja, Selangor juga perlu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan pertambahan pemilih yang mendadak di dalam daftar pengundi terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menimbulkan banyak persoalan.
MP Shah Alam, Khalid Samad berkata, pertumbuhan pemilih baru disifatkan luarbiasa dan di luar jangkaan.
“Itulah di antara sebab mengapa kita melihat pertambahan yang begitu mendadak dan luarbiasa di Selangor di mana disebutkan hampir lebih 400 ribu pengundi baru dari 2008 hingga sekarang.
“Kita juga banyak dengar bahawa orang Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Filipina yang telah diberikan kerakyatan dengan sewenang-wenangnya supaya mereka menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN),” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.
Khalid berkata kebanjiran warga asing yang mendapat kerakyatan semasa pilihanraya di Selangor dan di seluruh Semenanjung Malaysia mungkin akan berlaku seperti di Sabah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penubuhan RCI di Sabah bagi menyiasat kebanjiran warga asing tanpa izin yang dipercayai diberikan kerakyatan semasa pilihanraya 1994.
Bernama melaporkan suruhanjaya tersebut dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Sabah sempena Pesta Kaamatan pada 9 Jun ini.
Menurutnya, penubuhan RCI di Sabah itu disokong MP Pakatan Rakyat (Pakatan). MP BN sendiri tidak menafikan perkara itu berlaku apabila isu tersebut dibahaskan dalam sidang Parlimen lalu.
“Ini untuk kita jamin pilihanraya di negara ini menjadi pilihanraya yang bersih kerana hanya rakyat sebenar yang memilih kerajaan.
“Maka dengan ini, satu RCI untuk menjalankan siasatan berhubung warga asing diberikan kerakyatan ini perlu ditubuhkan dan perlu disegerakan sebelum pilihanraya umum diadakan,” katanya.
Abdul Khalid berkata, perkara itu amat serius kerana ia melibatkan jabatan dan agensi kerajaan yang mendaftarkan warga asing berkenaan.
“Sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahawa SPR bersama Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Keselamatan Negara telah bekerjasama untuk mendaftarkan warga-warga asing ini.
“Apabila perkara ini didedahkan, kita melihat pihak yang disebutkan itu tidak memberikan satu penafian yang kukuh dan bersungguh-sungguh. Maka adalah diyakini perkara ini memang sedang berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan