Khamis, 14 Jun 2012

Mesin ATM dilarikan dari stesen komuter

KL TODAY

 


Empat penyamun melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) dari stesen Komuter Subang Jaya di sini,  yang mempunyai wang tunai sebanyak RM47,900,  dalam tempoh kurang tiga minit, awal pagi ini.

Kejadian hanya disedari kerani pejabat stesen itu ketika hendak  memulakan operasi kira-kira jam 6.15 pagi dan memaklumkan kepada pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi itu, kumpulan suspek terbabit dipercayai menggunakan kabel untuk menarik set ATM berkenaan ke sebuah kenderaan, dipercayai lori.

Insiden itu berjaya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di stesen itu.

“Berdasarkan rakaman CCTV, keempat-empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dilihat memasuki ruang tempat pembelian tiket komuter yang turut menempatkan mesin ATM  berkenaan.

“Menggunakan tali kabel, mesin ATM berkenaan dilarikan dalam tempoh kurang tiga minit dipercayai dengan sebuah kenderaan yang masih tidak dapat dipastikan jenisnya,” katanya.

Ah Chua berkata, pihaknya difahamkan perkhidmatan pengawal keselamatan di stesen itu ditamatkan pada 1 Jun lalu.


Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan sekiranya wujud dalang  berikutan gerak-geri suspek yang seolah-olah mengetahui kedudukan CCTV.

Beliau berkata, salah seorang suspek dilihat cuba menyembur cat berwarna hitam di kedua-dua CCTV berada di lokasi, namun kamera berkenaan masih dapat merakam pergerakan mereka.


“Seorang suspek yang menutupi wajahnya dengan sehelai kain menyembur dua CCTV yang terletak di bahagian mesin dan dinding.

“Namun bentuk badan serta pergerakan suspek yang memakai topi dan menutup muka dengan kain masih berjaya dirakam,” katanya.

Tiada ulasan: