Khamis, 14 Jun 2012

Juruukur lebuhraya Kelantan diugut

KL TODAY

 
Ekoran tindakan pihak tertentu ‘mengugut’ juru ukur asal yang bertanggungjawab untuk membina Lebuhraya Rakyat sejauh 73 kilometer itu, kerajaan negeri terpaksa melantik tujuh juru ukur yang baru bagi melicinkan perjalanan pembinaan lebuhraya itu.Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan danKebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pembinaan lebuh raya itu masih mengikut jadual walaupun terdapat usaha untuk mengganggu kontraktor yang terlibat, termasukjuru ukurnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco semalam ketika mengulas perjalanan pembinaan Lebuhraya Rakyat.

Jelasnya lagi, kontraktor yang dilantik masih lagi kuat dengan ikatan perjanjian walaupun pihak tertentu cuba untuk ‘menghasut’ agar tidak terlibat dengan pembinaan lebuhraya itu.

Mengulas mengenai kritikan sinis pihak tertentu yang meragui usaha pembinaan tersebut, Husam berkata, beliau tidak akan memberi banyak reaksi sebaliknya menunjukkan usaha itu melalui tindakan.

“Saya tak akan jawab lisan, sebaliknya melalui tindakan,  kita buat insyaallah biar sampai berjaya. Kita juga sudah melantik kontraktor,” katanya.

Husam juga turut mendedahkan sambutan masyarakat Kelantan termasuk di luar untuk turut menderma pembinaan lebuh raya ini begitu membanggakan.

“Mereka sedar betapa pentingnya dalam Islam mengenai konsep wakaf yang diperkenalkan mendapat sambutan baik bukan sahaja dari segi kewangan malah perkhidmatan,” ujarnya.

Husam juga turut berkata, pihaknya akan melelong perkakasan pembinaan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh peserta perhimpunan baru-baru ini.

“Kalau ada orang nak beli kita lelong, sekarang ni kita dah tak guna canggkul, sikul lagi dah, zaman dah semakin moden guna jentolak terus,”ujarnya dengan nada sinis.

Beliau dipercayai mengulas tindakan sekumpulan penyokong Umno yang berdemo depan Kota Darulnaim yang menyerahkan peralatan pembinaan kepada kerajaan negeri.

Beliau juga turut melahirkan rasa hairan usaha dibuat kerajaan negeri diganggu, diejek, sedangkan cadangan pembinaannya ditarik balik sebelum ini.

Lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutama di musim perayaan dan cuti sekolah apabila rakyat Kelantan dari luar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tiada ulasan: