SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhak untuk meletakkan dana geran Selangorku bernilai RM300 juta di bawah kawalan langsung pejabatnya tanpa terikat kepada prosedur Perbendaharaan Negeri, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi.
Beliau berkata Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menguruskan dana lumayan itu mempunyai lembaga pengarah dan prosedur sendiri.
"MBI ni macam PKNS, satu perbadanan di bawah negeri yang dikawal oleh, macam corporation, macam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), ada prosedur sendiri... jadi dia boleh belanja tanpa melalui SUK," kata beliau kepada Antarapos.com.
"MBI boleh berniaga, ada aset, ada hasil, boleh belanja ikut kelulusan lembaga pengarah," tambah beliau yang merujuk Khalid sebagai pengerusi MBI.
Khusrin mengulas kenyataan mantan Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo yang mempertikaikan tindakan Khalid meletakkan dana begitu besar di bawah MBI, sekaligus meminggirkan Khusrin dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Ariff Abdul Rahman daripada menguruskan dana itu.
Dana itu yang menyerupai 20 peratus belanjawan negeri, dikelolakan oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Khalid.
Anggota lain jawatankuasa itu adalah Setiausaha Akhbar beliau Arfaeza Aziz dan Setiausaha Politiknya Faekah Husin.
Ahli Exco dan wakil rakyat lain hanya diberi peluang untuk mencadangkan projek yang patut
dilaksanakan dengan dana RM300 juta itu tetapi tidak mempunyai kuasa seperti Arfaeza ataupun Faekah ke atas dana itu sendiri.
Langkah itu menimbulkan kecurigaan terhadap janji Khalid untuk menggunakan dana awam secara telus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan