Sabtu, 19 Mei 2012

Tujuh tahanan ISA henti mogok lapar

UTUSAN ONLINE

TAIPING  - Tujuh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting (Kemta) menghentikan mogok lapar yang diadakan sejak seminggu lalu selepas mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam berkata, kumpulan berkenaan bertindak sedemikian kerana keliru dengan pengumuman pemansuhan ISA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Katanya, mogok itu pada mulanya membabitkan tujuh tahanan sebelum tiga daripada mereka menarik diri pada 15 Mei lalu dan disertai tiga yang lain dua hari kemudian.

"Mereka keliru dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini kerana berpendapat semua tahanan ISA akan dibebaskan dengan pemansuhan akta itu.

"Menerusi perjumpaan bersama 45 tahanan yang masih tinggal, kita memaklumkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, pembebasan hanya tertakluk kepada kes baru sebelum penggubalan akta tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan kira-kira tiga jam dengan semua tahanan di Kemta, di sini.

Kumpulan terbabit mengadakan mogok lapar secara berperingkat sejak 12 Mei lalu gara-gara tidak berpuas hati kerana masih belum dibebaskan walaupun ISA dimansuhkan.

James memberitahu, tujuh tahanan yang mengadakan mogok lapar itu terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan selebihnya warga asing dari Sri Lanka, India, Indonesia dan Iraq.

Menurutnya, semua mereka yang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan manusia, ahli Jemaah Islamiah dan Jemaah Santri Melayu serta pemalsuan dokumen menamatkan mogok itu pada pukul 12.45 tengah hari ini.

"Kita juga terangkan kepada mereka bahawa di bawah ISA, mereka perlu menghabiskan tempoh tahanan seperti yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, pembebasan awal masih boleh diberikan tetapi melalui bidang kuasa menteri," katanya.

James berkata, pihaknya akan membantu tahanan tersebut dengan membawa perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan mengesyorkan langkah terbaik bagi menangani masalah berkenaan.

Tiada ulasan: