Sabtu, 10 Disember 2011

Umno K'tan sudah ada bayangan awal calon PRU13

MALAYSIA KINI
Umno Kelantan kini telah menyediakan senarai awal nama calon yang akan dikemukakan kepada ibu pejabat parti untuk dipertimbangkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata antara yang akan dicalonkan adalah beberapa nama mereka yang pernah bertanding pada pilhan raya umum lalu dan masih diterima rakyat.

"Sekarang masih di peringkat perbincangan dengan semua bahagian di Kelantan dan ketika ini bayangan awal calon itu sudah ada dan akan dimuktamadkan sebelum penghujung bulan depan untuk dihantar kepada ibu pejabat parti.

"Calon yang akan dikemukakan merupakan mereka yang diterima rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang antara gabungan muka lama dan baru yang mampu membawa Kelantan ke era yang lebih gemilang jika diberi kepercayaan oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa buah sekolah di Tumpat hari ini yang dijadikan pusat pengagihan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata antara calon itu adalah merupakan ulama dan golongan muda yang mampu memberi cabaran kepada PAS.

"Calon ini sudah pasti boleh diterima bukan sahaja kepada anggota Umno tetapi juga kepada penyokong PAS yang merupakan individu mesra rakyat sebelum ini," katanya.

Beliau meminta budaya sabotaj atau `cah keting' sama sekali tidak berlaku pada pilihan raya kali ini dan yakin semua anggota Umno kini matang untuk berpolitik dan menerima siapa sahaja calon yang dipilih.

Mustapa juga meminta jentera penerangan Umno Kelantan agar lebih agresif memberikan penerangan mengenai isu terkini kepada penduduk negeri ini yang kurang mendapat gambaran sebenar mengenai isu itu.

"Jentera penerangan jangan leka dan perlu segera memberikan penjelasan terutama yang membabitkan isu yang jika tidak diperbetulkan akan mengundang perspektif tidak baik kepada parti," katanya.

Beliau juga membidas kerajaan Kelantan pimpinan PAS yang hanya mampu membina sebuah masjid sejak memerintah lebih 20 tahun.

Katanya memberi contoh di Jeli sahaja dua buah masjid baharu telah dibina dalam tempoh 10 tahun dengan kesemua masjid lama yang lain dinaik taraf dengan peruntukan yang besar.

"Ini semua membuktikan kelemahan kerajaan Kelantan yang ada dan banyak lagi isu yang perlu dijelaskan kepada rakyat Kelantan," katanya.

Mengenai pengagihan borang itu, Mustapa berpuas hati dengan perjalanan pengagihan borang itu hari ini.

Katanya lebih 300,000 borang diagih-agihkan kepada mereka yang layak di Kelantan dan mulai hari ini dan esok juga borang itu akan diagih-agihkan di 160 buah sekolah di negeri ini.

"Kita beri jaminan mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 itu dan rayuan juga boleh dikemukakan selepas ini tetapi perlulah mengikut syarat yang ditetapkan," katanya.
- Bernama

Tiada ulasan: