Khamis, 1 Disember 2011

Umno kecam pihak mahu tulis semula sejarah


MALAYSIA KINI

Umno hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayatkan semula sejarah negara.

NONEPresidennya Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini berkata tindakan tersebut dilihat cuba untuk memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya.

"Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia," kata Perdana Menteri.

Malah, Najib dalam pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas turut mengiktiraf sumbangan dan jasa pejuang negara dengan mengumumkan pemberian sumbangan RM3,000 secara 'one-off' kepada setiap bekas anggota keselamatan serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah 62,000 orang.

Pihak pembangkang pada Ogos lalu cuba mencetuskan kontroversi apabila mahu menulis semula sejarah Malaysia dengan alasan kononnya sejarah yang ada sekarang tidak menggambarkan hakikat sebenar.

pengukir nama johor mat sabu 050911Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu telah mendakwa Ahmad Indera atau Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Najib dalam ucapannya turut menyentuh mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), di mana katanya: " DEB sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak."

"Berlawanan dengan tafsiran cetek sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu," katanya.

Buktinya setelah dua dekad pelaksanaan DEB pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan purata isi rumah mereka masih yang tertinggi di antara kaum di negara ini, tegasnya.

NONE"Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti (orang Melayu) tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000.- Bernama

Tiada ulasan: