Jumaat, 2 Disember 2011

Serah kerusi tak diyakini menang kepada Umno


Abdul Rahim Sabri
Perwakilan Umno Melaka mahu parti komponen BN menyerahkan semua kerusi yang mereka tidak yakin akan menang pada pilihan raya umum akan datang kepada Umno.

Dalam membahaskan usul ucapan dasar presiden, Datuk Hasnoor Sidang Hussein berkata, mereka yang tumbang pada pilihan raya 2008 dan tidak yakin mampu merampas kembali kerusi berkenaan perlu menyerahkannya kepada Umno untuk cuba ditawan semula.

"Umno banyak berkorban membenarkan parti komponen bertanding di kawasan majoriti Melayu, selain membiarkan mereka bertanding di kawasan majoriti Cina.

"Ini kerana orang Melayu dan Umno, dalam semangat BN sanggup berkorban. Namun jika mereka tidak yakin boleh menang kerusi itu pada pilihan raya akan datang, pulangkan lah kepada Umno,” katanya.

Menurut Hasnoor, MCA dan Gerakan tidak boleh menang sesetengah kawasan di Pulau Pinang dan mereka mesti menyerahkan kerusi tersebut kepada Umno.

NONESementara itu, wakil Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir pula menyentuh mengenai persetujuan Umno Pulau Pinang untuk menerima calon luar sekiranya ada bahagian yang tidak mempunyai calon 'winnable candidate' bertanding pada pilihan raya umum akan datang

Bagaimanapun, beliau mengingat calon 'perdana menteri' itu supaya "menghormati" kepimpinan dan akar umbi bahagian dengan 'bagi salam bila masuk rumah orang'.

"Dia jadi calon di bahagian, mai datang mengepak, kata aku calon PM, dia mai, dia masuk, tak pernah jumpa ketua bahagian, ketua Pemuda, tak hormat Wanita," katanya sambil mendada dan mengangkat tangan seolah-olah menyekak pinggangnya.

"Dia bawa ketua Wanita, Pemuda dia masuk kampung... (Bagi) kursus dekat depa dulu di Janda Baik (tentang) apa itu Umno... Ni pakai coat, pakai tie masuk kampung, mampuih la," kata sambil disambut gelak ketawan perwakilan.

Sebelum itu, berucap membahaskan ucapan dasar presiden, Musa yang juga timbalan ketua Umno negeri berkata kekalahan BN di negeri itu perlu diambil iktibar oleh semua pihak.

Tegasnya, pucuk pimpinan tidak boleh menyalahkan kepimpinan bahagian susulan kekalahan calon Umno di Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum lalu.

NONE"Jangan letak kesalahan itu pada bahagian. Pucuk pimpinan juga bertanggungjawab dengan kekalahan itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menegaskan supaya pucuk pimpinan "mendengar rintihan" bahagian berhubung pemilihan calon dalam pilihan raya akan datang.

"Kita cakap rakyat didahulukan, jadi rakyat sahaja yang tahu siapa akan jadi calon mereka.

"Kita akui ada bahagian adalah masalah, ketepikan (dahulu), kita tidak cakap soal pemilihan (parti), kita cakap nak menang (untuk kuasai) Pulau Pinang," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar jawatankuasa displin pilihan raya ditubuhkan serta merta bagi mengambil tindakan terhadap ahli menjadi "pembelot" dalam pilihan raya.

"Kita hantar gambar, video, tapi tidak ambil tindakan... Kita nak menang pilihan raya, tapi tidak tegas dalam parti kita sendiri.

"Saya buat teguran ikhlas, sebab kita nak menang... Kami terseksa di Pulau Pinang," katanya.

Tiada ulasan: