1. Sejak semalam dan berlarutan sehingga pagi ini, telefon saya senantiasa panas dengan deringan masuk yang bertali arus. Tidak menang tangan saya dibuatnya. Saya terpaksa menggunakan ear phone untuk mengelakkan rasa sakit pada gegendang telinga, melayan panggilan masuk sejak semalam.
2. Segalanya bermula dengan Oley ! .... Segala puji bagi Allah Tuhan yang memberi hidayah dan taufiq buat hambaNya.3. Tahniah ustaz ! dengan nada sebak dan seketika beliau berhenti lalu menangis di hujung talian mengakui kebenaran dan keinsafan beliau kerana salah sangka terhadap hukum Allah selama ini. Insaf setelah menonton filem pendek berjudul "Oley !" tujuh kali berulang tonton. Saya kesal ustaz ! saya fitnah hukum Allah selama ini ! .... saya hanya mampu bersyukur mendengar luahan dari insan yang saya tidak kenali di hujung talian telefon pagi tadi.
4. Tanpa disedari, menitis jua air mata saya terharu dengan kesan filem yang kami hasilkan ... biarpun tidak seberapa tetapi berbekalkan keikhlasan dan kesungguhan rakan - rakan yang mahu membersihkan nama baik Islam dan syariatnya setelah diserang dari segenap arah. Semoga Allah menerima amalan yang sedikit ini sebagai amal soleh dan menjadikannya asbab hidayah kepada semua yang menontonnya.
5. Pada awalnya saya sendiri teragak - agak, bagaimana mahu menangani penghinaan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap hukum Allah swt. Pada kebiasaannya kami dari Dewan Pemuda PAS akan mengadakan demonstrasi membantah penghinaan terhadap hukum Allah swt. Tetapi saya mula mengukur dan melihat pendekatan demonstrasi untuk zaman cyber ini.... saya akui demonstrasi mempunyai impaknya yang tersendiri, cuma kalau terlalu kerap di adakan, nanti yang hadir hanya seribu dua, kemudian selepas demo dan meluahkan bantahan, semua pulang dan berakhir begitu sahaja. Hanya sekadar mampu menunjukkan perasaan marah dan benci terhadap perbuatan menghina hukum Allah, namun pihak berkuasa tetap degil dan enggan bertindak, masyarakat pula masih terlalu ramai yang terperangkap dalam kejahilan yang mengepong mereka.
6. Begitu juga isu - isu nasional yang lain, mutaakhir ini, penganjuran demonstrasi tidak menarik jumlah yang diharapkan kecuali demonstrasi bertaraf high level seperti BERSIH, BERSIH 2.0, PPSMI, Mansuhkan ISA. Demonstrasi bantah kezaliman di keduataan Syria, Libya dan Mesir sebelum ini pun hanya dihadhiri sekitar ratusan para peserta tegar demonstrasi. Begitu juga himpunan aman membantah isu Mykad juga tidak mencapai angka yang diharapkan.
7. Saya cuba mencari alternatif lain terutama di zaman anak - anak muda "lepak" di dalam talian jalur lebar. Saya perlu anjur "demonstrasi" dalam jaringan dan talian ini justeru di sinilah berhimpunnya anak - anak muda. Patutlah mereka kurang hadir berhujan dan berembun di padang lapang untuk mendengar ceramah umum oleh pimpinan PAS. Kalau hadhir pun, hanyalah crowd biasa dan jumlah yang terhad. Kecualilah ceramah yang disampaikan oleh pemimpin high class dan himpunan rasmi yang melibatkan kerahan wajib kepada ahli atau penceramah yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri seperti Al Fadhil ustaz Azhar Idrus yang mencetus fenomena kuliah agama mutaakhir ini.
8. Mungkin saya naif dalam hal ini. Sehingga ada pihak yang tidak suka pendekatan saya malah menganggap langkah saya tidak menganjurkan demonstrasi ini sebagai pengecut. Ketua Pemuda paling pengecut ! letak jawatan sahaja lah ! saya hanya tunduk diam sambil menahan dan mengawal emosi. Menidakkan saya dan menggelarkan saya sebagai pengecut kerana semata - mata tidak menganjurkan demonstrasi adalah tidak benar.
9, Usah dihitunglah berapa kali saya menyertai dan menganjurkan demonstrasi sebelum ini termasuklah keluar masuk lokap dan mahkamah. Isunya bukan saya takut .... tetapi isunya ialah pendekatan dan imej ! kerana kekerapan demonstrasi ini jugalah ada pihak termasuk pengamal media menggelarkan pemuda PAS Taliban ! Semoga Allah memberi hidayah dan taufiqnya kepada saya dan menetapkan tapak kaki ini di atas perjuangan suci untuk menegakkan syariat Allah swt.
10. Ceramah adalah untuk sampaikan maklumat. Demonstrasi juga bermaksud untuk menghantar mesej kepada pihak tertentu dan juga umum sambil menunjuk perasaan dan sikap kita terhadap sesuatu isu. Maksudnya ceramah dan demonstrasi adalah sebahagian dari mekanisme untuk menyampaikan maklumat, memahamkan masyarakat serta menarik perhatian umum terhadap risalah atau mesej yang mahu kita sampaikan. Apa yang penting ialah masyarakat dapat maklumat, faham dan sedar.
11. Sambil meneruskan pendekatan yang sedia ada seperti ceramah dan demonstrasi, saya perlu menambah dan menganjurkan pendekatan baru yang membawa objektif yang serupa iaitu membawa dan menyampaikan maklumat atau risalah perjuangan kita kepada masyarakat umum. Termasuklah menjawab isu dengan baik dan hikmah.
12. Alhamdulillah, pendekatan terbaru ini mendapat tempat dihati anak - anak muda. Bermula dengan filem "Gua Ikut Enta" kini diikuti pula dengan fiem "Oley !" Semoga pendekatan ini turut memberi impak yang besar kepada perjuangan Islam yang kita dokong bersama. Filem Oley telah mencecah hitnya melebih 15 ribu penonton dalam tempoh 24 jam. Bukan calang - calang demonstrasi boleh menghimpunkan 15 ribu orang untuk mendengar dan memahami mesej yang kita nak bawa.
13. Insyaallah, Dewan Pemuda PAS akan mendokong apa jua bentuk pendekatan yang membawa kita mencapai objektif. Insyaallah, jika kerajaan UMNO dan BN gagal menunaikan tuntutan BERSIH 2.0 dan suara rakyat terus diketepikan, insyaallah sekali lagi Dewan Pemuda PAS sedia untuk turun menyertai himpunan aman BERSIH 3.0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan