Ahad, 25 Disember 2011

Misteri pertikaman lidah Hasan-Mustafa

Fathi Aris Omar

Dikenali sebagai penceramah motivasi dan kem pelajar musim cuti sekolah sejak awal 1990-an, Hasan Ali kelihatan masih berpengaruh luar biasa dalam dan luar PAS.

Pengaruh inilah barang kali yang membimbangkan PAS untuk mengambil tindakan padanya walau bagaimana lantang beliau mengkritik dasar PAS dan pemimpin kanannya Mustafa Ali.

Dalam sidang media keduanya minggu ini (ketiga, sejak minggu lalu), beliau bukan sahaja bermain sorong tarik dengan idealisme baru 'negara berkebajikan' tetapi turut memulangkan paku buah keras terhadap setiausaha agung PAS.

Menyedari sudah tersilap mengungkit dasar (atau, nama?) baru PAS, Hasan kelihatan boleh menerima 'negara berkebajikan' tetapi dalam nafas yang sama terus mempersoalkan kenapa 'negara Islam' digugurkan semata-mata untuk projek merampas Putrajaya.

Tidak cukup dengan itu, yang boleh membayangkan kesilapan dan 'keinsafannya', Hasan mendakwa Mustafa lebih kerap mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno!

Memakai kembali strategi Mustafa yang hanya mendedahkan beberapa maklumat asas -- selepas tarawih di Le Meredian -- Hasan juga enggan membongkar lebih lanjut kecuali terdesak.

Hasan dan Mustafa, bersama beberapa pemimpin kanan parti termasuk beberapa tokoh ulama popular dalam PAS, sering dikaitkan dengan projek kerjasama Umno-PAS atau istilah popnya fraksi 'kerajaan perpaduan'.

Jadi tidak hairan jika kedua-duanya pernah bertemu (berunding atau tidak --- itu soal kedua) dengan wakil-wakil Umno.

Namun babak terakhir dan mengejutkan muncul apabila Mustafa mendakwa Hasan terperangkap dalam mainan Umno; dan exco Selangor itu pula mendakwa bekas timbalan menteri berkenaan sendiri tidak lebih suci daripadanya.

Sekarang bola Hasan sudah jatuh ke gelanggang tokoh veteran, juga sering dianggap seorang ahli strategi PAS, dari Terengganu itu.

Apakah Mustafa sanggup diperkecilkan oleh tokoh motivasi yang baru menyertai PAS dalam sedekad ini dengan segala karenahnya?

Apakah Mustafa bersedia meneruskan permainan setelah diasak-asak oleh bekas pesuruhjaya Selangor yang kelihatan masih dipayungi beberapa tokoh ulama dalam parti dan kebal daripada tindakan disiplin?

Babak-babak mencemaskan dalam episod inilah yang menentukan sama ada Mustafa benar-benar ahli strategi yang pintar dan berpengalaman luas dalam mengemudi bahtera PAS.

Jika kenyataan Hasan pada Sabtu diambil kira, kelihatannya Mustafa sedang tercabar dengan tokoh baru dari Selangor itu. Mustafa sudah berjaya dipatahkan dan disudutkan.

Jika Mustafa mewakili parti, dan juga barisan pemimpin parti, Hasan kelihatan sudah menang -- dan terus berjaya menangkis asakan garangnya minggu pertama. Minggu kedua: Hasan 1, Mustafa 0.

(ii)

Hasan sendiri, di satu sisi, memang penuh paradoks. Beliau menganggap PAS tergelincir daripada landasan perjuangannya apabila melupakan 'negara Islam' dan kini mempromosikan 'negara berkebajikan'.

Bekas pegawai kanan kerajaan ini tidak dapat menerima hakikat itu. Baginya PAS sudah lari daripada asas Islam.

Beliau sendiri bagaimanapun berpegang teguh dengan konsep tiga R (race, religion dan royalty) atau dalam konteks semasa 'Melayu, Islam dan raja'.

Tiga R bukanlah 'negara Islam', syariah atau hudud yang selama ini menjadi idealisme PAS dan umumnya aktivis Islam.

Tiga R, bagi Hasan, lebih Islamik atau lebih dekat dengan idealisme PAS yang difahaminya. Sebab itulah beliau berasa partinya sudah menyeleweng; sedangkan dirinya sendiri tidak lari daripada Islam atau idealisme parti!

Tiga R, bagi PAS, tentulah konsep yang ganjil dan asing. Tiga R, walau didukung oleh PAS atas dasar menghormati Perlembagaan Persekutuan, tentulah datang bersama sejumlah curiga dan debat yang panjang.

PAS sendiri dalam sejarahnya sering mempermasalahkan 'Melayu' dan 'perjuangan Melayu' khususnya dalam konteks idealisme Umno.

Bagi parti ini, tiada yang konkrit dan sahih pada perjuangan bangsa -- jika baik ia menjadi semangat wataniah seperti dihurai dengan menarik oleh Hasan Albanna; tetapi jika tidak baik ia akan menjadi 'asabiyyah yang diperangi habis-habisan oleh parti itu.

Begitu juga sistem beraja. Jika ditelusuri dalam teks klasik politik Islam, seperti dikaji oleh tokoh-tokoh PAS, parti ini dalam idealismenya tidak melihat kesetiaan pada monarki atau dinasti sebagai satu-satunya model pemerintahan Islam.

Idealisme tertinggi politik Islam bukannya sistem beraja walau penyimpangan sejarah di tanah Arab dan tanah Melayu menghasilkan gejala politik seumpama itu.

Tiada aktivis Islam di serata dunia, termasuk PAS, akan melihat R (raja) sebagai puncak idealisme politik kecuali Hasan! Namun hari ini beliau mengajak PAS bersamanya dengan tiga R.

(iii)

Ada misteri yang belum terungkai dalam babak-babak mutakhir ini: apakah motif dan motivasi Mustafa serta beberapa pemimpin PAS untuk bergeser terang-terangan dengan Hasan?

Dan juga, apakah motif dan motivasi Hasan mempertikaikan parti yang pernah diterajuinya secara terbuka susulan kenyataan PAS Selangor berhubung ketiadaan pencalonan buatnya di Gombak Setia.

Walaupun pelbagai akhbar cuba mendabik dada bahawa merekalah yang mencetuskan episod ini tetapi hakikatnya berita tersebut bermula daripada laporan pertama Malaysiakini -- dua hari sebelum Utusan Malaysia dan Sinar Harian -- yang memetik ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Ketua penerangan PAS Selangor itu, yang tersingkir bersama timbalan pesuruhjaya Khalid Samad pada era kepemimpinan Hasan, kini turut terseret dalam pertikaman lidah Mustafa dan Hasan.

Saari ibarat pelanduk yang terjepit di antara dua ekor gajah PAS dan diminta tampil menjelaskan kenyataannya tersebut (termasuk mengesahkannya kepada beberapa media lain).

Jika benar sasaran Hasan hanya pada Saari dan PAS Selangor, kenapa tidak dari awal kenyataannya ditujukan kepada mereka -- bukan dasar 'negara berkebajikan'?

Jika kenyataan Hasan hanya sekadar 'ribut di dalam cawan' PAS seperti riuhnya isu kumpulan Erdogan bergeser dengan puak 'kerajaan perpaduan' sejak 2008, kenapa pula Mustafa mengaitkan Hasan dengan agenda Umno dan kemudiannya pertemuan tertutup di sebuah hotel terkemuka?

Jika isu asasnya soal Hasan tidak mendapat sokongan mencukupi untuk bertanding semula di Selangor, dan PAS pusat masih boleh campur tangan bagi memastikan beliau kekal bertanding sejak 1999, kenapa kini ribut di dalam cawan sudah bertukar badai?

Ada babak-babak lain dan watak-watak lain yang belum muncul setakat dua minggu ini. Ia menjadi satu misteri menjelang pilihan raya umum nanti.

Misteri inilah yang ingin diketahui pengamat PAS dan terus menjadi buruan semua media.

FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai ketua pengarang di Malaysiakini.

Tiada ulasan: