Rabu, 21 Disember 2011

Lain Yang Dituntut Lain Yang Dilaksanakan Oleh SPR

SPR: Tempoh bantah status calon dibatal


PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk memansuhkan tempoh bantahan berhubung kelayakan seseorang calon yang bertanding pada hari penamaan calon, dikuatkuasakan mulai pilihan raya umum ke-13.

“SPR akan menentukan (sama ada seseorang calon itu layak atau tidak),” kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, pihak yang hendak membantah kelayakan seseorang calon, yang telah diterima oleh SPR, boleh membawa kes mereka ke mahkamah.

“Pada pagi (hari penamaan calon), maaflah,” katanya lagi.

Selain itu kata beliau, calon juga tidak dibenar menarik diri daripada bertanding sebaik pencalonan mereka diterima.

Langkah itu bagi membolehkan urusan mencetak kertas undi dilakukan dengan segera.

“Meskipun anda menarik nama anda, nama anda tetap akan ada pada kertas undi,” katanya.

Kata beliau, perubahan-perubahan dibuat berdasarkan syor-syor dikemukakan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya dan SPR sedang bekerja keras untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Langkah itu termasuklah membersihkan daftar pemilih.

Selain itu kata beliau, daftar pemilih akan dipamerkan selama 14 hari mulai suku pertama tahun depan berbanding tujuh hari sekarang.

Ulasan GB

Bingai!

Lain yang dituntut oleh rakyat lain yang diberikan oleh SPR.

Kedua-dua langkah baru SPR hanya untuk mempastikan calon-calon BN yang menyerahkan borang tak kira siapa tidak dibantah, di dalam ertikata lain SPR berhak untuk menetapkan calon BN diterima sekalipun calon bermasalah.

Di dalam beberpa siri pilihanraya yang lalu, beberapa calon BN dibantah malah PAS pernah memenangi pilihanraya tanpa bertanding yang menyebabkan BN malu besar sehingga SPR dikecam oleh BN kerana mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding untuk calon selain BN.

BN seringkali juga meletakkan calon bermasalah seperti si bangkrap, si penjenayah, si bebal isi borang dan sebagainya sehingga bantahan dibuat dan SPR terkedu untuk membatalkan pencalonanan mereka.

Misalnya di dalam PRU yang lalu, calon PAS Wan Ubaidah Omar diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kijang di Kelantan selepas calon Barisan Nasional (BN) Mustopha Ahmed didapati tidak layak untuk bertanding.

Kini tempoh bantahan dibatalkan, dan SPR mendakwa keputusannya muktamad. Kalau nak bantah bawa ke mahkamah - yang mana masing-masing faham prosesnya boleh melangkaui bertahun-tahun lamanya dan kos guaman dan mahkamah bukan murah.

Kedua, calon juga tidak dibenar menarik diri daripada bertanding sebaik pencalonan mereka diterima.

Di dalam beberapa pilihanraya yang lalu kita melihat wujudnya kes dimana beberapa kerusi menjadi pertarungan beberapa penjuru - yang sepatutnya cuma dua penjuru di antara BN dan PR. Tetapi muncul calon bebas yang ditaja untuk memecahkan undi pihak lawan. Dan pada saat akhir ada calon Bebas tarik diri dan menyebabkan rancangan mereka untuk memecahkan undi menemui kegagalan lantas kalah di dalam pilihanraya.

Justeru itu, keputusan SPR terhadap kedua-dua langkah tersebut sepatutnya ditentang oleh Pakatan rakyat.

Sementelah lagi ia tidak terkandung di dalam 8 tuntutan BERSIH. Sepatutnya SPR tidak lari dari cadangan asal.

Agenda tersembunyi SPR yang memihak kepada BN itu sepatutnya diberikan perhatian serius oleh PR dan BERSIH 3.0.

Tiada ulasan: