KELAB GREENBOC
Aziz Bari: Nak guna akta apa dakwa pelajar turun ‘banting’ Najib
KUALA LUMPUR – Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan kumpulan mahasiswa SMM dan Bebas tidak perlu dan tidak boleh dikenakan tindakan berhubung insiden menurunkan ‘bendera’ berbentuk banting berwajahkan Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.
Menurut Aziz, beliau tidak melihat apa-apa kesalahan dilakukan oleh pelajar-pelajar berkenaan.
“Saya tidak nampak mereka melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merosakkan harta benda... tidak. Mereka menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera (banting).
“Mereka hendak siasat di bawah undang-undang apa? Nak ambil tindakan di bawah peruntukan apa?” kata beliau mengulas perkembangan di pekarangan ibu pejabat Umno di sini, Sabtu lalu.
Sebaliknya kata pakar perlembagaan ini, Najib selaku perdana menteri perlu menerima mesej yang disampaikan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan, yang mengadakan demonstrasi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kumpulan mahasiswa dari SMM dan Bebas hendak menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.
Bagaimanapun kumpulan mahasiswa itu menegaskan, mereka tidak akan memohon maaf kepada perdana menteri.
Pemimpin SMM dan Bebas berkata, pihaknya tidak nampak perlunya mereka harus memohon maaf.
“Kami tidak akan meminta maaf. Kita tak perlu meminta maaf. Tindakan menurunkan bendera Datuk Seri Najib selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula seharusnya dilihat sebagai satu mesej jelas mahasiswa bahawa perdana menteri perlu serius mendengar suara kami, suara rakyat” kata Pengerusi SMM Ahmad Syukri Abdul Razab.
Saifuddin menuntut mereka memohon maaf dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.
Aziz yang menjadi sasaran siasatan polis, pengurusan UIA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dua bulan lalu menegaskan, selagi kerajaan tidak memansuhkan AUKU, pelajar-pelajar universiti akan terus memperjuangkan perkara berkenaan.
“Universiti-universiti sudah wujud sebelum AUKU diperkenalkan pada 1971, jadi mengapa perlunya AUKU.
“Kerajaan perlu mendengar suara mahasiswa... jadi mereka tidak perlu meminta, saya tidak perlu memohon maaf, jangan sombong, dengar suara mereka,” katanya.
SMM dan Bebas mengadakan demonstrasi tempoh hari menuntut AUKU dimansuhkan untuk mengembalikan kebebasan akademik.
Menjawab soalan sama ada tindakan itu sesuatu yang tidak beradab, Aziz berkata, “kalau nak kata beradap tidak beradap, kita pun saksikan banyak perbuatan dan tindakan pemimpin-pemimpin Umno yang tidak beradap, tidak sopan sebelum ini.”
“Saya tidak melihat menurunkan bendera Najib ini sesuatu yang tidak beradap, seteruk tindakan mereka sebelum ini,” katanya lagi. -TMI
Maaf bersyarat- SMM
SHAH ALAM- Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sedia meminta maaf atas tindakan mereka menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi bersyarat.
Presidennya, Ahmad Syukri Abdul Razab berkata, tindakan mahasiswa menurunkan bendera selama lima minit itu juga membawa mesej jelas bahawa perdana menteri perlu serius terhadap suara mereka.
"Pendirian kami, tidak akan meminta maaf tetapi kami akan meminta maaf jika kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan memberi autonomi kepada univerisiti.
"Bukan sahaja kami, bahkan seluruh mahasiswa akan berterima kasih jika ia dapat dimansuhkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Selain itu, Syukri turut mempersoalkan tindakan 'bisu' Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam isu Auku dan meminta agar beliau bersuara.
Katanya, Khaled seolah-olah berselindung disebalik timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah dalam isu yang melanda mahasiswa ini.
"Kami tiada masalah dengan Datuk Saifuddin malah beliau merupakan ikon yang perlu dihormati oleh semua pihak.
"Bagaimanapun, saya bersimpati dengan beliau yang seolah-olah menjadi mangsa kepada orang yang tidak membuat kerja," katanya.
Beliau turut mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Khaled untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu Auku. -SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan