Khamis, 8 Disember 2011

Hudud: PAS gesa Umno nasihati MCA

Tindakan MCA mencabar DAP untuk berdebat mengenai hukum Islam itu disifatkan pelik dan aneh kerana sepatutnya cabaran itu dilontarkan kepada PAS atau Umno.



SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad menggesa Umno menasihati MCA, rakan komponennya dalam Barisan

Nasional (BN), berhubung hukum hudud yang masih menjadi polemik dalam arena politik tanah air dewasa ini.

“Berbanding MCA, DAP rakan dalam Pakatan Rakyat lebih bersikap lunak apabila berdepan dengan isu ini,” kata ahli parlimen Shah Alam kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, tindakan MCA mencabar DAP untuk berdebat mengenai hukum Islam itu disifatkan pelik dan aneh kerana sepatutnya cabaran itu dilontarkan kepada PAS atau Umno.

“Kenapa nak cabar DAP sedangkan DAP sejak awal lagi sudah kata mereka tidak setuju tentang hudud. Itu pendirian mereka. Pelik dan aneh kerana DAP dan MCA, kedua-duanya tidak setuju dengan perlaksanaan hudud.

“Perkara ini sengaja ditimbulkan untuk menimbulan keretakan hubungan DAP dengan rakan-rakan dalam Pakatan. Sepatutnya Presiden MCA (Datuk Seri Chua Soi Lek) mencabar PAS atau Umno.

“Lihat sikap DAP jauh lebih lunak berbanding MCA. Umno nak tunjuk DAP ini ekstremis, sedangkan parti MCAlah yang ekstremis. Saya cabar Umno kemuka hudud Islam dan mereka (MCA) berdebat dengan Umno.

Umno ultra Melayu, ekstremis

“Macam Umno kata PAS ekstremis….sedangkan kita lihat ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Umno menunjukkan belangnya sebagai parti ekstremis. Umno adalah ultra Melayu yang ekstremis,” tegas beliau.

Baru-baru ini, MCA mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk berdebat mengenai isu hudud dan disiarkan secara langsung di televisyen.

Timbalan Ketua Publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata, sudah beberapa kali pihaknya menjemput Guan Eng untuk berdebat tetapi ditolak.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembahagian kerusi di Selangor bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, beliau berkata rundingan dalam Pakatan masih berjalan dan setakat ini kerusi yang sama masih dikekalkan.

Malah beliau mengakui bahawa wujud cadangan agar DAP bertanding di kawasan Melayu namun timbul pula kebimbangan Umno akan mengekploitasi isu tersebut untuk menghentam PAS.

Maka bagi mengelak perkara itu berlaku katanya, tuntutan sedemikian tidak akan dilaksanakan bagi menghalang Umno menggunakan isu tersebut untuk memecah belahkan Pakatan.

Tiada ulasan: