Rabu, 21 Disember 2011

Felda: Gamis tuntut PM beri penjelasan, jangan sembunyi ‘perkara besar’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) meneruskan desakan meminta kerajaan agar menjelaskan beberapa kemusykilan berhubung urusan penyenaraian Felda Global Vanture Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia atas alasan isu tersebut menjadi semakin kronik, lebih-lebih lagi ekoran rombakan pegawai-pegawai kanannya termasuk arahan minta pengarah besarnya bercuti.

Presiden Gamis Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, pihaknya melihat ada perkara ‘besar’ hendak disembunyikan oleh kerajaan khususnya melalui campur tangan pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kerajaan mesti mendedahkan sebab-sebab Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abdul Wahab diarahkan bercuti dalam tempoh yang lama dan timbalannya juga ditukarkan ke JPA.

“Ini kerana umum mengetahui khidmat mereka lebih 30 tahun di Felda sangat cemerlang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Malah katanya, pengurusan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di bawah mereka berdua juga berada di tahap yang sangat cemerlang apabila mampu memberikan dividen tahunan sejumlah 10 hingga 16 peratus beberapa tahun kebelakangan ini.

“Satu capaian yang mendahului koperasi lain di dalam negara ini,” katanya.

Keduanya, kata beliau, kerajaan mesti mendedahkan sebab tanah Felda Plantation dan lain-lain tanah agensi itu hendak dipajakkan selama 99 tahun dan benarkan bayaran pajakan ini sekitar RM500 juta sahaja.

“Sedangkan kita mendapat maklumat Felda memperoleh keuntungan tiga hingga empat kali ganda lebih besar daripada nilai pajakan tersebut.

“Gamis juga menuntut kerajaan menjelaskan apakah benar ‘durian runtuh’ yang dijanjikan diberi kepada peneroka hendak diambil wangnya daripada simpanan aset tetap KPF milik peneroka dan kakitangan Felda yang berjumlah lebih RM1bilion.

“Jika benar ia suatu tragedi malang kepada peneroka dan Felda khususnya apabila mereka bukan sahaja ditipu dengan durian runtuh yang datang daripada wang mereka sendiri, bahkan akan meruntuhkan KPF yang berdaya maju sebelum ini,” katanya.

Justeru kata Akram Ikrami, Gamis mendesak kerajaan khususnya Perdana Menteri memberi penjelasan tanpa selindung terhadap beberapa kemusykilan tersebut.

“Ini kerana Gamis berpandangan kerajaan cuba untuk ‘menyembunyikan’ sesuatu daripada mata peneroka di sebalik penyenaraian tersebut.

“Jika tiada jawapan daripada Perdana Menteri, kami sedia menggerakkan mahasiswa untuk bersama-sama memperjuangkan perkara ini hingga mendapat penyelesaian terbaik demi membela nasib rakyat,” katanya.

Malah menurut beliau, ia bukan isu warga peneroka Felda semata-mata, tetapi ini isu kita selaku rakyat Malaysia. “Kita bukan buat tuduhan, kita mahu penjelasan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: