Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Sewaktu pimpinan PAS dan seluruh ahlinya ijmak menerima konsep Negara Berkebajikan melalui muktamar tahunannya, malah ia adalah kandungan ucapan dasar presiden parti ‘Membangun Negara Berkebajikan’ yang telah diterima sebulat suara, maka ia menjadi dasar parti yang mesti dipertahankan oleh semua pimpinan dan ahlinya. Justeru, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) menegaskan tidak layak bagi mana-mana pemimpin atau ahli parti mempertikai konsep yang telah diijmakkan melalui satu majlis pemesyuaratan yang besar seperti muktamar tahunan yang sah, sementara kritikan membina dan pandangan tambah nilai adalah senantiasa dialu-alukan. AJK PAS Pusat, Datuk Dr Hassan Ali melalui akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini. Bagi Hassan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS. Bagi Nasrudin, Konsep Negara Berkebajikan adalah manifestasi dari konsep negara yang disebut oleh al-Quran iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan Yang Maha Pengampunan). “Konsep ini juga dipertegaskan dengan tiang serinya iaitu ubudiah iaitu pengabdian diri kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mencipta," katanya. Justeru itu, jelasnya Negara Berkebajikan ditakrifkan sebagai ‘Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (al Adl wal Ihsan) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta'awun) ke arah kejayaan (al Falah) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat’. Menurutnya, berasaskan takrif tersebut, layaknya tidak timbul lagi keraguan terhadap konsep Negara Berkebajikan apakah ia menepati atau bercanggah dengan perjuangan asal PAS. Tambahnya, lantaran PAS tetap konsisten dengan dasar Islam yang diperjuangkannya dan konsep Negara Berkebajikan bukanlah suatu penyimpangan sebaliknya ia adalah suatu peneguhan terhadap asas dan dasar perjuangan Islam yang diperjuangkan selama ini. “Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap akan mempertahankan konsep Negara Berkebajikan yang telah dimuktamadkan oleh parti melalui Muktamar Tahunannya yang ke 57 baru-baru ini dan insya Allah Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah memutuskan satu komitmen besar untuk turun ke serata negara bagi memperjelaskan Konsep Negara Berkebajikan ini,” ujarnya. |
Rabu, 21 Disember 2011
Pertahan dasar ‘Membangun Negara Berkebajikan’
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan