Jumaat, 2 Disember 2011

Berhimpun untuk kecam pemimpin Pakatan

Kecaman demi kecaman ini sengaja dibuat untuk menyemarakkan lagi kebencian orang Umno dan rakyat terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat.



Perhimpunan Agung Umno 2011

KUALA LUMPUR: Saban tahun kecaman terhadap pemimpin dari parti gabungan Pakatan Rakyat merupakan agenda tetap bagi Perhimpunan Agung Umno dan sengaja ditimbulkan untuk menyemarakkan kebencian orang Umno dan rakyat terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan mereka.

Pada perhimpunan tahun ini juga, yang diadakan di tempat yang sama, iaitu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sejak 29 November lalu sehingga esok, tidak terkecuali dan terlepas dari kecaman-kecaman yang dilontarkan oleh para pemimpin Umno.

Baik pemimpin utama, Wanita, Pemuda dan Puteri, mereka melontarkan kecaman dan yang menjadi sasaran utama ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Di kalangan mereka ini, para pemimpin Umno dari Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang paling lantang menghentam pemimpin-pemimpin Pakatan.

Umum sedar bahawa keempat-empat negeri tersebut diperintah oleh Pakatan Rakyat dan semuanya buruk belaka dan diluahkan dengan penuh perasaan benci dan menghina secara berlebihan.

Cacian dan makian yang bertali arus ini menjadi bahan ketawa dan mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan. Mungkin kerana sebab ini lebih 5,000 perwakilan Umno dari seluruh negara sanggup hadir pada perhimpunan ini.

Bagaimanapun dalam tinjauan hari ini, ada ahli Umno yang tidak senang dengan tindakan keterlaluan pemimpin Umno memburuk- burukkan pemimpin Melayu dari Pakatan.

Seorang ahli Umno Negeri Sembilan berkata, tindakan keterlaluan boleh menimbulkan kebencian orang Melayu yang tidak berparti terhadap Umno.

Azman Ali berkata, kita boleh mengkritik pemimpin pembangkang (Pakatan) tetapi jangan melampaui batas.

“Jangan sampai orang Melayu anggap pemimpin Umno sudah hilang adab. Kalau jadi begini orang Melayu jadi meluat dengan Umno,” katanya.

Ahmad Husin dari Pahang berkata, perhimpunan tahun ini sama seperti tahun sebelumnya. Setiap tahun perkara yang sama diulang-ulang hingga menyebabkan orang muak dan naik jelak dengan perhimpunan ini.

Tiada ulasan: