KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan adakah kerajaan dan Suruhajaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum akan datang.
Anwar semasa membahas usul laporan dan cadangan bagi memastikan pilihanraya bebas dan adil di Parlimen hari ini juga berharap kerajaan tidak akan menggunakan alasan bagi melengah-lengah penggunaan dakwat kekal itu.
"Bila meneliti laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) saya melihat cadangan penggunaan dakwat kekal juga dicadangkan dan apa yang ini saya tekankan di sini adalah jaminan dari pihak kerajaan dan juga SPR.
"Kalau sebelum ini Peguam Negara mengatakan penggunaan dakwat bercanggah dengan perlembagaan tetapi sekarang mengatakan tidak, saya sendiri tidak pasti yang mana satu betul dan boleh diterima pakai.
"Malah kenyataan Ketua Polis Negara juga mengatakan dakwat kekal boleh jadi senjata, itu kenyataan yang karut sama sekali. Jadi di mana jaminan kerajaan," jelasnya.
Tambahnya lagi, intitusi-institusi di negara ini boleh dipermainkan semata-mata untuk melihat kepada sikap dan pendirian pemimpin politik.
"Sebab itu semasa membahaskannya pada peringkat awal saya syorkan bahawa isu pilihanraya bebas dan telus ini bukan sahaja SPR atau PSC tetapi ia ada komitmen politik pimpinan negara.
"Persoalan ketetapan yang dibawa oleh parlimen meluluskan beberapa cadangan dan bagaimana kita dapat pastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik sebelum pilihanraya umum nanti.
"PSC ini bersikap tegas memberi cadangan itu dan kita mahu ketetapan dari parlimen, pengeruis dan juga kabinet adakah ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat, ini yang perlu ditekankan," sambung Anwar lagi.
Beliau juga berharap perkara ini perlu disegerakan dan Peguam Negara tidak perlu mengambil masa dua bulan untuk membuat kelulusan jika ia tidak bersangkut paut dengan soal perlembagaan.
"Walaupun tidak semua tuntutan Bersih diterima tetapi sebahagian daripadanya telah dicadangkan oleh PSC tetapi mengulangi persoalan adakah ia dapat dilaksanakan segera.
"Kalau hanya menyatakan ia akan dilaksanakan sebelum pilihanraya itu bagi saya bukan satu jaminan dan apa yang kita inginkan adalah menyatakan tarikh bila ia berkuatkuasa.
"Penetapan tarikh ini akan mempermudahkan SPR mahu pun Peguam Negara membuat penetapan tanpa perlu dua bulan untuk kelulusan," jelasnya.
Awnar menekankan penetapan tarikh penting kerana tidak mahu pada saat akhir selepas tarikh pilihanraya diumumkan pelbagai alasan diberikan mengenai penggunaan dakwat kekal tidak dapat dilaksanakan.
"Kita mahukan tarikh perlaksanaan kerana tidak mahu mendengar alasan dari pihak kerajaan dalam menafikan penggunaan dakwat kekal itu.
"Kerajaan, SPR mahupun Peguam Negara malah Parlimen perlu nyatakan pendirian segera perlaksanaannya," ucap beliau lagi.
Sebelum itu Anwar menyambut baik tentang laporan yang dikemukakan oleh PSC dan berharap usaha baik cadangan tersebut disegerakan bagi memastikan pilihanraya akan datang lebih bersikap adil dan telus.
Selain itu juga beliau berharap peruntukkan tambahan serta penambahan kakitangan diberikan kepada SPR bagi melancarkan pelaksanaan tersebut.
"Selain menunaikan perlaksanaan itu saya menyeru jika kerajaan dan juga SPR ingin bersikap demokrasi maka pada pilihanraya nanti SPR perlu menjemput badan-badan bebas dari luar negara untuk menjadi sebagai pemerhati bebas semasa berlangsungnya pilihanraya nanti.
"Kita lihat negara-negara lain sudah menjemput pemerhati bebas tetapi negara kita belum lagi melaksanakannya dan harap ia dapat dilakukan," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan