Sabtu, 24 Disember 2011

2011: Kerajaan ‘Transformasi’ dan Gelombang Kebangkitan Rakyat

Afiq M Noor


2011 akan melabuhkan tirainya tidak berapa lama lagi. Tahun ini telah menyaksikan beberapa sejarah yang telah merubah lanskap politik Malaysia. Ternyata Tsunami politik pasca PRU-12 masih lagi menunjukkan bisanya walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan memerintah untuk menawarkan ‘bisa’ gelombang kebangkitan rakyat. Mengambil ‘berkat’ rancangan Maharaja Lawak yang bakal berakhir hujung tahun ini, saya mengandaikan begitulah jangkahayat Barisan Nasional.

Sewaktu saya menulis artikel ini, Dewan Negara telah pun meluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 hanya dalam masa sehari. Hebat bukan? Satu Rang Undang-Undang yang dikritik oleh pengamal undang-undang bahkan oleh Special Rappoteur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh diluluskan dalam masa sehari oleh Dewan Negara. Ini lah uniknya Malaysia. Negara yang tiada apa-apa yang mustahil –‘Boleh Land’ . Benarlah kata orang Malaysia Truly Asia.

Secara peribadi saya merasakan BERSIH 2.0 merupakan kemuncak bagi kebangkitan rakyat tahun ini. Rakyat Malaysia yang prihatin dari segenap ceruk berkumpul dan berhimpun mendesak agar sistem pilihanraya direformasikan supaya ianya lebih telus dan bersih. Rakyat sudah jelak dengan Suruhanjaya Pilihanraya yang diperkudakan seolah-olah ianya parti komponen Barisan Nasional. Usaha Kerajaan Persekutuan melalui media – media arus perdana yang cuba menakut-nakutkan dan menggertak rakyat yang ingin keluar berhimpun ternyata gagal. Suasana Kuala Lumpur pada 8.7.2011 (sehari sebelum BERSIH 2.0) sangat luar biasa tenang dan aman. Rakyat tidak lagi takut dan makan kepada ugutan Kerajaan.

9.7.2011 adalah kenangan manis bagi rakyat Malaysia dan saya (kerana inilah kali pertama saya turun berdemo). Jika dahulu saya percaya hanya teh tarik dan nasi lemak (dan makanan-makanan lain) sahaja yang mampu meleburkan (transcends) sempadan agama dan bangsa (yang mana saya masih percaya lagi sehingga saat artikel ini ditulis). Tetapi 9.7.2011 membuktikan sebaliknya, rakyat Malaysia tanpa mengenal bangsa, agama dan keturunan bersatu di jalan raya melawan regime kezaliman dan penindasan. Rakyat sudah bosan dengan sandiwara dan tipudaya Barisan Nasional yang sanggup memperkudakan SPR, PDRM dan agensi-agensi lain yang dibiayai oleh wang rakyat demi untuk memastikan survival politik mereka.

Sebulan sebelum BERSIH 2.0, Kerajaan ‘Transormasi’ 1Malaysia dengan kerjasama polis telah menahan 6 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia yang kononnya berhasrat untuk melancarkan perang terhadap Yang Di Pertuan Agong. Tak masuk akal bukan? Ingat kita masih lagi bercerita tentang Boleh Land. Semuanya tidak mustahil.

Tahun 2011 juga merupakan tahun pertama saya berurusan dengan pihak polis (Ya! Saya masih muda). Sewaktu tahun akhir di Sekolah Undang-Undang, subjek Prosedur Jenayah adalah antara subjek yang menjadi pujaan hati saya. Kami diajar apakah itu tangkapan, bagaimana tangkapan dibuat?, apakah hak-hak orang yang kena tangkap – termasuk mendapatkan khidmat peguam pilihan. Malang bagi saya, subjek itu tidak langsung mempersiapkan saya untuk berurusan dengan pihak polis.

Teori-teori yang diajar di dalam buku-buku teks dan Kanun Acara Jenayah tak lebih dari bacaan sebelum tidur. Pengalaman mengendalikan soal siasat polis menunjukkan sebaliknya. Anak guam langsung tidak diberi akses kepada peguam dan sudah menjadi rukun untuk para peguam terpaksa meninggikan suara kepada pegawai polis yang bertugas. Dan selepas hampir setahun pengalaman saya berurusan dengan polis, saya perhatikan para pegawai polis mempunyai template jawapan yang sama untuk setiap soalan yang ditanya – “ Saya tak tahu, saya hanya ikut arahan orang atas…..”.(Mungkin itu polisi pelanggan mereka)

Pada bulan Oktober 2011, Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari telah digantung daripada menjalankan tugasnya sebagai ahli akademik oleh pihak Universiti berikutan kritikannya terhadap tidakan Sultan Selangor dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dalam isu serbuan di gereja Damansara Utama. Ramai ultra-Melayu dari kalangan UMNO dan PERKASA mengkritik Aziz Bari, kononnya telah menderhaka kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor. Barangkali mereka lupa atau mempunyai ‘selective memories’ terhadap tindakan MANTAN Perdana Menteri, Mahathir Mohamad (perkataan MANTAN sengaja ditulis dalam huruf besar memandangkan ramai yang mudah lupa) yang melancarkan perang secara terbuka dengan mengkritik Sultan-Sultan Melayu di media arus perdana suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. Prof Aziz Bari juga telah dikritik oleh Menteri Pengajian Tinggi, kononya ingin berpolitik dan menyebelahi Pakatan Rakyat. Boleh jadi Menteri terlupa tentang istilah ‘KEBEBASAN AKADEMIK’.

Tidak cukup sampai di situ, 31 Oktober 2011 Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Seksyen 15 Akta Universiti & Kolej Universiti 1974 sebagai tidak sah dan ‘ultra-vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan 2-1 itu menggemparkan negara dan semestinya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan Malaysia. Perdana Menteri, yang sebelum ini mengumumkan pelan transformasi untuk meminda AUKU, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordian Darurat telah mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu ke Mahkamah Persekutuan. Ironi bukan? Lebih ironi dalam pelan transformasinya untuk memansuhkan ISA, Kementerian Dalam Negeri telah menahan seramai 13 orang di bawah undang-undang zalim tersebut pada 15 September, iaitu tidak lama selepas Perdana Menteri mengumumkan transformasinya.

Gelombang kebangkitan mahasiswa terus bergerak dan mendesak agar kerajaan menghormati kebebasan akademik. 17 Disember 2011 yang lalu sekumpulan mahasiswa turun ke jalan untuk menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah. Saya hanya mampu ‘tabik spring’ kepada mahasiswa-mahasiswa ini, termasuk bekas mahasiswa UKM 4, yang berani berdiri memperjuangkan dan mempertahankan hak anda sebagai mahasiswa dan manusia. Seperti kata Soe Hok Gie, “Mimpi saya yang terbesar, yang ingin saya laksanakan adalah agar mahasiswa Indonesia berkembang menjadi ‘manusia-manusia yang biasa’. Menjadi pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang bertingkahlaku sebagai seorang manusia yang normal, sebagai seorang manusia yang tidak mengingkari eksistensi hidupnya sebagai seorang mahasiswa, sebagai seorang pemuda dan sebagai seorang manusia” –(andaikan Soe Hok Gie sedang berbicara dengan anda, dan gantikan kalimat Indonesia dengan Malaysia)

Ingat! Mahasiswa bukan haiwan yang berhabitat di dewan-dewan kuliah dan bersempadan di pintu pagar universiti sahaja. Mereka adalah sebahagaian daripada masyarakat dan bertanggungjawab terhadap pencerahan masyarakat.

Terlalu banyak yang perlu kita kenang sebelum tahun 2011 melabuhkan tirainya. Artikel pendek ini tidak cukup untuk ‘recap’ setiap peristiwa yang berlaku. Tapi untuk berlaku adil, izinkan saya menyebut kata kunci bagi setiap peristiwa yang signifikan.-

Ludah, tampar, kuning, doraemon haram, cincin, lembu, kondominium, kapal selam, Seksualiti Merdeka, katak dan Saiful.

Untuk tidak menimbulkan sebarang kontroversi dengan Jabatan-Jabatan Agama Islam. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maulid* Nabi Isa (A.S) kepada rakan-rakan yang beragama Kristian dan Selamat Tahun Baru 2012.

(*Maulid ialah istilah Arab yang bermaksud ulangtahun atau birthday)- Lawyers for Liberty

Tiada ulasan: