TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan, PAS akan memberikan tekanan yang sewajarnya agar masalah rakyat di Kerdau diselesaikan dengan baik jika calonnya terpilih dalam pilihan raya kecil ini.
"Sebagai pembangkang, kita akan membuat desakan agar segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan baik.
"Jika kita sebagai kerajaan, kita akan laksanakan sebagaimana kita mentadbir Terengganu sebelum ini serta juga lain-lain negeri Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media khas di pekan Kerdau lewat petang semalam.
Turut serta di sidang media itu adalah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP yang ditugaskan khas di Kerdau.
Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk Kerdau adalah geran tanah yang mereka tidak perolehi walaupun mereka tinggal dan membuka tanah di kawasan itu sejak sekian lama.
"Semasa kami mentadbir Terengganu dahulu, 60,000 lot tanah berjaya kita keluarkan geran untuk penduduk Melayu serta juga Cina dan India.
"Antaranya untuk penduduk Kampung Baru Air Puteh, Kemaman.
"Ia tidak berjaya diselesaikan selama 40 tahun oleh kerajaan negeri sebelum itu, tetapi kita berjaya selesaikannya selama 4 tahun sahaja," kata Abdul Hadi yang menjadi Menter Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Dalam sidang medianya, Abdul Hadi berkata, PAS menyertai pilihan raya ini atas nama Pakatan Rakyat menawar calon yang terbaik untuk rakyat Kerdau.
"Kita bekerjasama atas dasar muafakat antara PAS, PKR dan DAP. Kami buat secara muafakat mencari titik persamaan untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.
"Projek yang kami hendak buat digambarkan melalui Buku Jingga yang telah kita lancarkan," kata Abdul Hadi.
Beliau juga memberikan jaminan, Pakatan Rakyat akan bebas dari rasuah dan penyelewengan sebagaimana yang telah terbukti di empat buat negeri Pakatan dan Terengganu sebelum ini.
Beliau juga berkata, kerjasamaa antara parti dalam Pakatan Rakyat sangat baik namun ia tidak terserlah kerana kongkongan media yang dibuat oleh BN.
"Saya yakin, jika media bebas dan membuat laporan yang adil, kerjasama antara kita akan menyerlah kerana sememangnya itu yang berlaku," kata Abdul Hadi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan