KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor membatalkan rancangan pembangunan komersil di atas tapak seluas 7.6 hektar di Taman Subang Ria yang berada di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan negeri mengambil kira rintihan dan bantahan sebahagian besar penduduk Subang Jaya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Tambahan pula katanya, usaha mencari penyelesaian terbaik bersama Sime Darby tidak mendapat kerjasama dari syarikat tersebut.
“Selepas diteliti secara perinci syarat-syarat rancangan tempatan, didapati kawasan seluas 19 ekar yang dicadangkan itu tidak sepatutnya dibangunkan untuk pembangunan komersil.
“Sehubungan itu, selepas proses ini, rancangan pembangunan komersil di tapak seluas 19 ekar akan dikeluarkan dari Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2020, bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Khalid berkata dengan pembatalan rancangan pembangunan itu, seluruh kawasan Taman Subang Ria akan dikekalkan untuk kegunaan rekreasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan