KUALA LUMPUR — Umno Kelantan buat julung kalinya memperluaskan kempen “Gelombang Merah” ke ibu negara malam ini bagi mendekati pengundi Kelantan di luar negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kempen itu diperluaskan di luar negeri Kelantan bagi meraih sokongan rakyat negeri itu terhadap Barisan Nasional (BN).
Program itu dilancarkan bulan lepas bagi menarik minat kira-kira 400,000 pengundi muda negeri itu dalam mencapai matlamat BN menguasai 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada pilihan raya umum ke-13.
“Orang Kelantan di Kuala Lumpur adalah pengaruh besar . . . kita patut berpakat untuk (menjayakan) ‘Gelombang Merah’ untuk pilihan raya umum ke-13 kelak.
“Kami (pemimpin dari Kelantan) sentiasa berusaha membela nasib rakyat (walau di mana mereka berada),” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan 700 peniaga rakyat Kelantan di Uptown Danau Kota, Setapak, di sini.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kempen itu, yang merupakan antara usaha Umno menawan semula Kelantan yang ditadbir PAS sejak 21 tahun lepas, semakin menunjukkan impak positif menerusi peningkatan ramai peserta dalam setiap program yang diadakan.
Katanya rakyat Kelantan harus memberi peluang kepada BN untuk mentadbir semula negeri itu selepas PAS gagal membawa perubahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan