Isnin, 7 Mac 2011

Fitnah 2 : Mahkamah Dijangka Putuskan Bicara Dalam Perbicaraan Hari Ini

Ditulis oleh Hadri Yaziz

KUALA LUMPUR : Mahkamah hari ini dijangka memberi kata putus perbicaraan dalam perbicaraan kes fitnah liwat 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan akan menentukan samada Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menerima permohonan peguambela mengenepikan barang-barang bukti kes yang dianggap penting untuk pertuduhan terhadap Anwar.

Zabidin sebelum ini menerima permohonan peguambela untuk membicarakan penolakan tepi barang kes yang didakwa diambil secara tidak adil ketika Anwar ditahan di lokap sel D9 IPK Kuala Lumpur pada Julai 2008.

Barang-barang tersebut termasuk berus gigi, botol air mineral, sehelai rambut dan sehelai tuala muka 'Good Morning'.

Mahkamah mendengar hujah yang dikemukakan Karpal Singh diikuti Timbalan Pendakwaraya (DPP), Datuk Yusof Zainal Abiden.

Karpal dalam hujahnya berkata penangkapan Anwar bercanggah menurut Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28A(1) Kod Prosedur Jenayah.

Karpal seterusnya mendakwa polis menahan Anwar tanpa asas walaupun beliau telah bersetuju untuk hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Minggu lalu Ketua Bahagian Siasatan Khas Bukit Aman, Superintenden Mohd Taufik Abdullah mendedahkan arahan untuk menangkap Anwar dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin.

Seramai 15 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dilengkapi senjata automatik dan 'balaclava' menahan Anwar 200 meter dari rumah beliau di Segambut pada 16 Julai 2008.

Peguam Sankara Nair yang bersama beliau ketika ditahan turun mengesahkan kejadian itu.

Sejurus penahanan itu, Anwar mendakwa turut dimalukan dua doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dipaksa mengukur zakar dan bulu kemaluannya selain meminta sampel darah untuk ujian DNA.

Anwar walaubagaimana pun menolak permohonan doktor setelah mendapat nasihat peguam Sivarasa Rasiah kerana khuatir sampel DNA beliau akan dimanipulasi pihak tertentu sepertimana kes tuduhan liwat pertama pada tahun 1998.

Ketua Pembangkang itu menyifatkan tindakan polis menggunakan tipu helah untuk mendapatkan DNA bagi mensabitkan beliau dengan tuduhan liwat terhadap bekas pembantu Saiful Bukhari Azlan.

Karpal menambah tertuduh yang tidak berhasrat untuk memberi sebarang spesimen DNA untuk penfailan harus dilindungi.

Namun tindakan polis mengambil DNA tanpa pengetahuan tertuduh harus ditolak mahkamah.

"Ini adalah jelas 'profiling' DNA yang diperolehi oleh polis untuk mensabitkan beliau adalah tidak adil dan bertentangan (mengelirukan)," kata Karpal kepada mahkamah.

Turut didedahkan Jumaat lalu tiada waran tangkap ketika Anwar ditahan pada hari kejadian namun pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Periera hanya mengemukakan dokumen tersebut setelah sampai di IPK Kuala Lumpur.

Karpal berkata kepada mahkamah, individu yang ditahan tanpa waran harus dijelaskan asas penangkapan pada waktu dan tempat yang sama.

"Dalam situasi individu ditahan, beliau harus diberitahu secepat mungkin asas penahanan dan seharusnya dibenarkan untuk merujuk kepada peguam," jelas Karpal.

Karpal yang seterusnya meneliti waran tangkap tersebut mendapati ianya tidak konsisten dengan dokumen yang dikemukan dalam mahkamah.

Salinan waran tangkap itu tidak mengandungi tandatangan DSP Jude sepertimana salinan asal.

Namun DPP Yusof memohon kepada mahkamah untuk menerima barang-barang kes yang dinyatakan termasuk salinan waran tangkap sebagai bukti kes.

Timbalan Pendakwaraya (DPP) Yusof Zainal Abiden yang mengambil giliran mengemukakan hujah pagi ini berkata bahawa pihak peguambela gagal membuktikan barang yang diambil dari sel D9 IPKKL tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan semalaman adalah tidak sah.

Tambahnya, pihak yang ditahan di dalam lokap tidak mempunyai hak privasi untuk menahan sebarang bahan bukti diperolehi polis.

"Apabila tertuduh meninggalkan lokap maka beliau dengan sukarela meninggalkan bahan bukti," kata Yusof.

Justeru Yusof berkata penahanan Anwar pada Julai 2008 tiada kaitan dengan barang-barang yang diambil untuk pemprofilan DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan penganalisaan.

"Ekshibit tiada kaitan dengan penangkapan. Tiada muslihat dilakukan untuk memperdaya tertuduh supaya meninggalkan kesan pada barang-barang tersebut. Tiada kesalahan di situ.

"Adalah tiada alasan untuk mahkamah menolak keempat-empat barang yang ingin ditanda sebagai bukti," jelas Yusof lagi.

Mahkamah akan bersambung jam 2.30 petang.

Tiada ulasan: