Isnin, 14 Mac 2011

Bot Pelancong Ke Pulau Perhentian Terbakar, 40 Penumpang Selamat

TVS NEWS


BESUT : Sebuah bot pelancong yang dalam perjalanan ke pulau peranginan Pulau Perhentian terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi ini, bagaimanapun kesemua 40 penumpang bot itu selamat.

Bot itu terbakar kira-kira setengah jam setelah berlepas dari Jeti Pelancongan Kuala Besut, di sini.

Kesemua penumpang bot itu yang terdiri tiga pelancong asing, 33 pelancong tempatan dari Melaka, dua penduduk Pulau Perhentian serta pemandu bot dan pembantunya diselamatkan oleh bot nelayan di kawasan itu.

Seorang daripada penumpang bot itu, Nirisan Atan, 38, dari Melaka yang kedua-dua belah tangannya melecur dalam kejadian itu dikejarkan ke Hospital Daerah Besut di sini untuk rawatan.

Arman Arshad, 34, yang cedera dalam kejadian itu ketika ditemui di hospital berkenaan berkata beliau bersama anggota rombongan dari Melaka termasuk 17 kanak-kanak dan remaja berumur antara tiga hingga 15 tahun menaiki bot ke pulau peranginan itu pada kira-kira 10 pagi.

Menurutnya, kira-kira setengah jam selepas itu, asap dilihat keluar dari arah enjin bot itu menyebabkan pemandunya menghubungi rakan-rakan lain untuk datang membantu.

"Apabila keadaan api semakin marak, kami yang semuanya memakai jaket keselamatan diminta terjun ke laut seorang demi seorang dengan didahului oleh kanak-kanak dan berpegang kepada tali yang disediakan oleh pemandu bot.

"Sebelum diselamatkan oleh bot nelayan kira-kira 10 minit kemudian, kami terpaksa mententeramkan kanak-kanak yang menangis ketakutan sambil berdoa agar kami diselamatkan dengan segera," katanya yang bekerja dengan sebuah kilang swasta di Melaka.

Ketua rombongan pelancong tempatan itu, Mohd Ramlan Mohd Jadi, 42, berkata ketika dalam perjalanan beliau yang duduk di bahagian belakang bot tiba-tiba terhidu bau minyak dan asap.

Katanya beliau yang bimbang dengan keadaan itu telah memaklumkan perkara itu kepada pemandu bot dan pembantunya yang kemudiannya membuat pemeriksaan dan meneruskan perjalanan.

"Tiada tindakan diambil sehinggalah bahagian enjin itu terbakar dan kami terpaksa menyelamatkan diri dengan terjun ke laut sebelum diselamatkan," katanya yang kesal dengan tindakan pemandu bot tersebut.

Katanya pemandu berkenaan sepatutnya mengambil tindakan segera kembali ke jeti di Kuala Besut jika didapati keadaan bot tidak selamat tetapi meneruskan juga perjalanan yang menyebabkan insiden itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi berkata polis masih menyiasat kejadian itu.

Tiada ulasan: