Pandangan mufti Selangor dan Perak bercanggah dengan Al Quran mengenai kalimah "Allah".
Berhubung kontroversi yang menyelubungi kitab Injil dalam bahasa Melayu yang dikenali sebagai Al-Kitab, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abdul Wahid dilaporkan berpandangan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah dilarang berdasarkan enakmen agama Islam negeri Selangor 1988.
Di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988, selain kalimah Allah, istilah lain yang tidak boleh digunakan bagi agama lain termasuk firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, kadi, ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi dan syeikh.
“Saya masih berpandangan bahawa ia (pengedaran Kitab Injil Bahasa Melayu) harus dihalang kerana mereka menterjemah ‘Tuhan’ sebagai ‘Allah’. Terjemahan ini merbahaya dan mengelirukan, terutamanya kepada generasi muda,” kata Tamyes.
Beliau menjelaskan bahawa kekeliruan akan timbul kerana di dalam Al-Kitab (Injil Bahasa Melayu) Allah digambarkan sebagai Bapa, mempunyai isteri dan anak.
Pandangan ini adalah senada dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussaini Zakaria yang meramalkan kebangkitan umat Islam di negara ini akan menyebabkan ketegangan di dalam hubungan antara kaum.
Di dalam kontroversi ini sebanyak 35,000 buah Al-Kitab ditahan pihak berkuasa di Pelabuhan Klang dan pelabuhan Kuching sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun kerajaan pusat membenarkan pengedarannya setelah meletakkan cop ‘Untuk Kristian sahaja’.
Namun pandangan kedua-dua mufti di atas mungkin ada cacat celanya kerana mereka juga manusia biasa.
Berdasarkan pembacaan saya berkenaan agama Islam, Surah al-Kafirun secara jelas menunjukkan Tuhan yang disembah orang bukan Islam dan orang Islam adalah berlainan sama sekali.
Surah tersebut berbunyi:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah,
Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.
Untukmu agamamu, dan untukku agamaku
Surah di atas sama sekali tidak menunjukkan kekeliruan antara Tuhan dengan Allah.
Malah di dalam Surah al-Zukhruf pula tidak mempersoalkan penggunaan nama Allah oleh masyarakat bukan Islam.
Surah al-Zukhruf ayat 87 berbunyi:
“Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka:
“Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab:
“Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?
Pertembungan di antara enakmen undang-undang negeri dan surah Al-Quran menimbulkan persoalan, adakah undang-undang buatan manusia lebih tinggi martabatnya berbanding surah Al-Quran?
Selain itu, penerbitan Al-Kitab bukannya diterbitkan di dalam Bahasa Melayu sepertimana diwar-warkan oleh semua pihak. Ia ditulis dan diterbitkan di dalam Bahasa Indonesia.
Justeru itu, pihak-pihak tertentu yang menentang penyebaran Al-Kitab tidak perlu bimbang kerana Bahasa Melayu tidak ternoda sama sekali.
Hujah terakhir yang menunjukkan pandangan kedua–dua mufti tersebut ialah salah adalah berdasarkan perkara pertama di dalam Perjanjian 18 Perkara Sarawak.
Perkara pertama adalah berkaitan agama. Ia secara jelas menyatakan tiada agama rasmi untuk negeri Sabah dan Sarawak meskipun mereka menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan