Sabtu, 26 Jun 2010

'Saya lihat ada kesan lebam pada mata kanan'


Mohd Sobri Mohd Sofian (kiri) dan Fauziah Abdul Wahab.

Oleh Nahar Tajri

Bapa pelajar MTD mati kesal dilarang periksa tubuh anak

BALING: Keluarga Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati akibat didera pelajar senior di asramanya, kelmarin, mendakwa ada kesan lebam pada mata kanan pelajar itu.

Bapa mangsa, Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, berkata mereka melihat kesan lebam itu sebelum upacara pengebumiannya, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd Sobri berkata, beliau tidak dibenarkan untuk memeriksa keseluruhan tubuh anaknya kerana dihalang pegawai tentera dan MTD yang hadir bersama jenazah anaknya.

“Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab anak saya sudah dikapankan. Mereka hanya benarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajah arwah buat kali terakhir.

“Saya tidak membantah tapi saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan anak saya ketika saya mengucupnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, petang semalam.

Mohd Sobri yang menetap di Kampung Sungai Siput, Sungai Lasah, Perak, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan kematian anaknya secara telus sehingga kejadian sebenar yang menimpa anaknya terbongkar dan pesalahnya dihukum.

Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun mahukan pembelaan terhadap kematian anaknya, selain menjadi teladan supaya nasib sama tidak menimpa orang lain.

“Naim adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan saya kehilangan Naim buat selama-lamanya.

“Saya sentiasa impikan satu hari nanti Naim akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam tentera dan membantu kami serta adik-adiknya yang lain untuk berjaya sepertinya,” katanya.

Mohd Sobri turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling mengenai kejadian itu pada jam 6.20 petang semalam.

Ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan Naim adalah ketika anaknya pulang ke rumah untuk cuti sekolah seminggu lalu.

"Naim tidak pernah mengadu apa-apa yang tidak baik dilakukan ke atasnya sebelum ini. Dia juga tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia tidak gembira di sekolahnya.

“Memang kami sekeluarga amat rapat, malah Naim juga amat rapat dengan opahnya.

“Sebagai ibu saya percaya Naim tidak pandai cari masalah dengan orang lain malah dia juga amat disenangi rakan di kampung,” katanya.

Tiada ulasan: