Jumaat, 25 Jun 2010

Polis Selangor Tumpaskan 13 Sindiket Judi Sukan

TV SELANGOR

Polis Kontinjen Selangor menumpaskan 13 sindiket bookie haram Piala Dunia di seluruh negeri ini dalam tempoh kurang dari seminggu dengan nilai pertaruhan mencecah sehingga RM5 juta.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata dalam siri serbuan itu polis menahan 21 individu termasuk 18 lelaki dan dua wanita berusia antara 25-57 tahun serta seorang wanita warga negara China berusia 24 tahun.

"Serbuan itu dilakukan di beberapa premis seperti rumah, restoran, pangsapuri dan kafe siber yang dijadikan pusat operasi menerima pertaruhan dari kaki judi yang bertaruh untuk perlawanan edisi Piala Dunia kali ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata serbuan yang dibuat sejak Jumaat lepas itu membabitkan empat kes di daerah Gombak, tiga kes di Ampang Jaya, dua kes di Subang Jaya serta satu kes di Klang, Kuala Langat dan Petaling Jaya.

Manakala, serbuan terbaru ialah di sebuah restoran makanan laut di Sungai Besar, Sabak Bernam kira-kira 2 pagi tadi.

Omar berkata serbuan hasil maklumat awam itu mendapati sindiket berkenaan menguruskan pertaruhan dengan nilai purata antara RM4,000 sehingga RM50,000 sehari.

Beliau berkata polis turut merampas 10 komputer riba, lapan buah telefon bimbit, empat buah komputer, empat set modem, empat set broadband, mesin faks, alat kelui, buku akaun bank, buku cek, buku pertaruhan dan wang tunai bernilai RM4,717.

"Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut sama ada semua 13 sindiket itu ada kaitan antara satu dengan lain," katanya.

Omar berkata semua suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM200,000.

Beliau berkata, secara keseluruhan sejak pertandingan bola sepak Piala Dunia berlangsung pada 11 Jun lalu, polis telah melakukan 23 serbuan dengan 44 tangkapan membabitkan kes bookie haram di seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengarahkan pengharaman operasi judi sukan di negeri Selangor. Mana-mana premis pertaruhan yang dikesan menjalankan judi sukan menghadapi tindakan keras.


Tiada ulasan: