Jumaat, 25 Jun 2010

Pemuda PAS desak polis siasat segera


pemuda johor Isu hantar pasir ke Singapura

Oleh Muda Mohd Noor


PETALING JAYA: Pemuda PAS Johor membuat laporan polis mengenai isu penghantaran pasir dari Johor ke Singapura sebagaimana yang dilapurkan oleh sebuah akhbar tempatan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pemuda PAS negeri, Khairil Faizi Ahmad Kamil membuat lapuran itu di balai polis Sentral Johor Baru kira-kira jam 10.15 pagi hari ini. Hadir sama beberapa pemimpin Pemuda PAS negeri.

"Kita minta polis siasat bagaimana boleh berlaku penghantaran pasir dari sungai-sungai di Johor ke Singapura sebagaimana yang dilapurkan.

"Pada asalnya pasir Johor digunakan untuk dalam negeri khususnya pembangunan Danga Bay dan Tanjung Pelepas.

"Tetapi kita (PAS) mendapat maklumat bahawa kapal pengangkut menghantar pasir melalui laut ke Pulau Punggul Timur di Singapura," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustahil pihak berkuasa tidak tahu

Ketika diminta mengulas perkara itu, Khairil Faizi berkata, adalah mustahil pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Galian PTG) dan kastam tidak mengetahui pergerakan kapal pengangkut pasir tersebut.

Katanya, ini kerana kapal itu bergerak dalam jumlah yang besar dan dikatakan kegiatan itu berlaku sejak tiga tahun lalu.

"Baru-baru ini anggota kita turun membuat tinjauan di Ulu Tiram dan mendapati kawasan tersebut menjadi satu korekan yang besar. Kita akan membongkar lebih banyak lagi penyelewengan pasir ini," katanya.

Khairil Faizi berkata, apa yang membimbangkan ialah ada perjanjian untuk membenarkan pengangkutan pasir dari Johor ke Singapura antara kerajaan negeri atau kerajaan pusat dengan republik itu.

Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Tebrau Abdul Aziz Tohak ketika dihubungi berkata, alat pengangkut pasir yang dikenali dengan panggilan`patong’ mengangkut pasir dari Kota Tinggi dan Ulu Tiram melalui perairan Singapura untuk dihantar ke Danga Bay.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak tahu sama ada patong berkenaan menghantar pasir berkenaan ke tempat lain.

"Kalau ada berlaku kegiatan sedemikian rupa, itu di luar pengetahuan saya," katanya.

Sebelum ini, menurut Abdul Aziz, kegiatan mengorek pasir di Sungai Johor di Ulu Tiram untuk dihantar ke Danga Bay pula mempunyai lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Tiada ulasan: