JOHOR BAHARU - Seorang bapa meminta polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kematian anak lelakinya di Penjara Kluang, yang dikatakan menggantung diri pada Januari lepas.
P. Regispran, 59, berkata sehingga hari ini dia tidak berpuas hati dengan punca kematian anaknya, R. Aruljothi, 24, sepertimana dimaklumkan pihak penjara, memandangkan anaknya itu tidak pernah mengadu sebarang masalah sejak ditahan di penjara itu pada September 2008.
"Kali terakhir saya berjumpa Aruljhoti adalah pada 1 Dis lepas dan anak saya memberitahu dia akan dibebaskan pada 25 Januari lepas.
"Bagaimanapun, kegembiraan saya bertukar kepada terkejut apabila menerima panggilan telefon dari pihak penjara pada kira-kira pukul 1 pagi, 9 Januari lepas, yang memaklumkan kematian Aruljhoti," katanya yang ditemani isteri, T. Annaputany, kepada pemberita pada pertemuan yang diaturkan Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, di sini hari ini.
Regispran, dari Taman Sri Skudai, di sini, berkata keadaan anaknya itu yang sihat dan gembira semasa dia dan isterinya melawat anak bongsu dari enam adik-beradik itu pada kali terakhir, membuatkan mereka sekeluarga tidak mempercayai Aruljhoti sanggup menggantung diri.
Katanya, mengikut laporan polis Penjara Kluang, Aruljhoti menggantung diri pada kira-kira pukul 9.45 malam, 8 Jan lepas.
Berikutan itu, Regispran berkata dia membuat laporan di Balai Polis Skudai pada 19 Jan lepas bagi menyiasat kejadian berkenaan, bagaimanapun dakwanya sehingga kini pihak berkuasa masih belum memberikan sebarang maklum balas.
"Saya tahu anak saya bersalah di atas jenayah samun yang dilakukannya tetapi saya mahukan keadilan terhadap kematian ini. Apa yang saya pertikaikan adalah cara kematiannya," katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata pihaknya sudah melantik seorang peguam bagi mewakili keluarga itu dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat supaya membuka semula kertas siasatan kematian Aruljhoti.
"Kita juga akan membantu Regispran membeli laporan bedah siasat kerana dia tidak mampu membeli laporan itu disebabkan masalah kewangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan