Jumaat, 25 Jun 2010

GMJ Seru Khairy Sertai Perarakan 100,000 Bantah Judi Sukan

TV SELANGOR


Gerakan Mansuhkan Judi atau GMJ menyeru Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk terbabit secara langsung dalam kempen nasional membantah pertaruhan judi sukan yang diluluskan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Badan ini membuat seruan itu ketika diminta mengulas bantahan rasmi sayap Umno itu semalam.

Dalam satu perkembangan terbaru, Pemuda Umno membuat kenyataan rasmi menolak pertaruhan sukan kerana ia mengundang mudarat kepada fabrik sosial negara ini.

Bantahan ini mengulangi seruan Pakatan Rakyat yang membantah usaha kerajaan 1Malaysia membudayakan judi sukan, yang disusuli dengan pengharaman menyeluruh di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Jurucakap GMJ, Suhaizan Kayat menggesa Khairy berganding bahu bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam perarakan 100,000 rakyat membantah judi sukan pada 3 Julai depan.

“Saya rasa tidak cukup sekadar memberikan kenyataan sebab UMNO mempunyai ruang kepada Perdana Menteri,jadi saya kira dia boleh menggunakan ruang yang ada itu untuk bercakap terus kepada Perdana Menteri,"

GMJ sekali lagi menyeru Khairy untuk menyokong kaedah pendidikan, pembanterasan dan penguatkuasaan undang-undang sebagai pelan bertindak yang lebih berkesan menangani gejala judi haram.

“Kita minta supaya,pihak kerajaan memberikan tumpuan kepada mengetatkan lagi penguasaan undang-undang,dan memberikan pendidikan membenci judi.”

Tiada ulasan: