Rabu, 6 Januari 2010

Sarawak: Pilihanraya Semakin Hampir?

Masdarwahid


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri itu sekiranya diadakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata, ini termasuk menggerakkan segala latihan berkaitan kawalan rusuhan dan ketenteraman awam di kalangan anggota dan pegawainya.

“Malah ia merupakan kesinambungan daripada Pilihan Raya Kecil Batang Air pada tahun lalu.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk melakukan persiapan dalam tempoh singkat walaupun dalam tempoh sebulan sebelum pilihan raya negeri diumumkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak antara Asisten Komisioner Albert Lunju Amin kepada Datuk Ahmad Sofian Md. Yassin.

Ahmad Sofian sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Mohmad mengakui secara peribadi tidak mengetahui tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak tetapi memberi jaminan sentiasa bersedia untuk tujuan tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tugas polis ialah sentiasa mempersiapkan diri dengan apa juga bentuk tugas keselamatan pada setiap masa termasuk berdepan dengan pilihan raya negeri ini.

“Jika berdasarkan kekuatan kontinjen Sarawak semata-mata, ia sememangnya tidak mencukupi terutamanya dari segi logistik serta sokongan keanggotaan,” katanya.

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di samping kontinjen-kontinjen lain.

Tiada ulasan: