SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Memecut dan melanggar had laju merupakan antara kesalahan utama yang mengungguli ‘carta’ kesalahan trafik yang dilakukan pengguna jalan raya di sekitar negeri ini sejak dua hari lepas sehingga memaksa polis mengeluarkan saman.
Kebanyakan kesalahan melanggar had laju ditangkap menggunakan kamera perangkap laju dalam beberapa operasi yang dilakukan polis trafik di beberapa jalan dan lebuh raya utama di negeri ini.
Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, selain melanggar had laju, antara kesalahan lain dilakukan pesalah trafik termasuk melanggar lampu merah di lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keselamatan (kereta) dan helmet (penunggang motosikal).
“Sepanjang dua hari operasi pada 22 dan 23 Januari, kita telah mengeluarkan sejumlah 3,716 saman keseluruhan kepada pesalah-pesalah trafik di negeri ini atas pelbagai jenis kesalahan.
“Sebanyak 2,232 saman dikeluarkan pada 22 Januari dan 1,484 saman pula dikeluarkan pada hari berikutnya. Kebanyakan saman dikeluarkan atas kegagalan pemandu mematuhi had laju ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, tindakan mengeluarkan saman ini diharap akan dapat meningkatkan tahap kesedaran semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Kita bukan mahu membebankan mereka namun kita fokus untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini kerana kebanyakan kemalangan berpunca dari kecuaian pengguna jalan raya sendiri.
“Tindakan menggunakan telefon bimbit semasa memandu juga antara punca berlakunya kemalangan. Ini juga antara kesalahan yang memaksa kita mengeluarkan saman,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga amat kesal dengan tindakan segelintir penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan menggunakan laluan khas yang disediakan untuk motosikal ketika menggunakan Lebuhraya Persekutuan.
“Mereka tanpa segan silu menggunakan laluan lebuh raya dengan alasan ‘sudah lambat’ atau ‘mahu cepat’ ke tempat kerja. :
“Kita memandang serius perkara ini kerana ia antara punca kemalangan di lebuh raya berkenaan dan saman akan dikenakan terhadap pesalah tanpa menimbangkan sebarang alasan,” katanya.
Che Hussin juga menasihatkan semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar lebih berhati-hati pada keadaan cuaca tidak menentu sekarang kerana mereka lebih terdedah kepada kemalangan ketika cuaca hujan akibat jalan licin dan jarak pemandangan terhad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan