|
|
KUALA SELANGOR - Dengan sekali lafaz, pasangan tempat ketiga peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia, Rizai Ali dan Ainul Farha Md. Ramli hari ini sah bergelar suami isteri.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Md. Ramli Achil, 55, tepat pukul 5.45 petang di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Mukim Sungai Nipah, Mohd. Khairudin Rajikin di Masjid Ma'muniah dekat sini, dengan mas kahwin RM300.
Ainul Farha, 26, yang kelihatan anggun mengenakan persalinan berwarna kuning lembut turut menerima wang hantaran dalam bentuk cek bernilai RM9,000.
Selain itu set barang kemas berupa gelang dan cincin diiringi dengan sebelas dulang hantaran daripada pihak lelaki yang bertemakan warna emas.
Pihak perempuan membalas dengan 12 dulang hantaran bertemakan warna hijau muda yang antara lain ialah jam tangan, al-Quran digital, buku agama dan barangan lain.
Majlis pernikahan tersebut turut dihadiri ibu bapa Rizai dan kaum keluarga terdekat pasangan pengantin.
Rizai yang ditemui selepas majlis akad nikah bersyukur dan lega kerana majlis berjalan lancar seperti dirancang.
"Pada mulanya saya gementar tetapi Alhamdulillah dengan sekali lafaz, saya kini bergelar suami orang," katanya.
Dia mengakui tanggungjawabnya akan bertambah selepas bergelar suami dan turut menyatakan keazaman menjadi ketua keluarga yang baik.
Sementara itu, Ainul Farha berkata, pernikahan tersebut kemuncak percintaan mereka selama 13 tahun yang dijalin sejak di bangku sekolah.
"Syukur, selepas 13 tahun kami berjaya memenuhi impian hidup sebagai suami isteri. Saya berharap perkahwinan ini akan kekal hingga ke akhir hayat," katanya.
Majlis persandingan pasangan itu akan berlangsung esok di kediaman Ainul Farha di sini dan dijangka lebih 3,000 tetamu jemputan akan hadir.
Perkahwinan pasangan tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila hampir sebahagian besar persiapan perkahwinan dibiayai penaja peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia termasuk sajian makanan, pelamin, baju pengantin, andaman, kad kahwin, fotografi dan sistem pembesar suara.
Peraduan yang julung kali dianjurkan Utusan Malaysia itu turut mendapat kerjasama 11 penaja, Orked Bridal, Mastar Catering, Kampung Pengantin, T&T Boutique, Afidah Khamis CJ Print, Syok Kahwin.com, Rumah Acara, De' Sayang, Intertainment Picture Elements dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan