Isnin, 4 Januari 2010

Naik harga kena tindakan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran pada peniaga agar tidak menaikkan harga makanan dan minuman sewenang-wenangnya ekoran kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram, kelmarin.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, kementerian memandang serius amaran tersebut dan berharap semua peniaga mematuhinya.

“Kita akui, pasti ada peniaga yang akan mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman di premis masing-masing. Itu kita tidak boleh elak. Namun, kementerian akan tetap membuat pemantauan dari masa ke semasa ke atas para peniaga ini.

“Berkenaan bentuk amaran yang akan dikenakan ke atas peniaga, kementerian masih belum putuskan lagi kerana kenaikan harga gula baru sahaja diumumkan. Tetapi tidak mustahil kita akan ambil tindakan drastik ke atas mereka serta mendesak kerajaan turut campur tangan dalam menangani isu ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd Zain Mohd Dom mengumumkan harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung Malaysia dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak bermula 1 Januari lalu.

Beliau berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

Lian Hoe berkata, kenaikan harga gula tersebut dilihat perkembangan positif dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat agar mengawal pengambilan gula secara berlebihan.

“Pengambilan gula berlebihan boleh memudaratkan kesihatan. Jadi, kenaikan sebanyak 20 sen itu dapat membantu masyarakat mengawal pengambilan gula tersebut.

“Jika tidak ada kenaikan gula sekalipun, kementerian tetap meneruskan kempen kurangkan gula kerana yakin usaha itu menemui kejayaan.

“Sebagai contoh, melalui kempen yang kita pernah lakukan sebelum ini, kesedaran orang ramai terhadap bahaya gula semakin bertambah.

“Masyarakat mula menjaga kesihatan dan mengurangkan gula dalam makanan dan minuman ekoran bimbang diserang pelbagai penyakit seperti kencing manis dan lain-lain. Justeru, kenaikan sebanyak 20 sen sekilogram itu sedikit sebanyak mendorong memupuk kesedaran ma-syarakat berkenaan gula,” katanya.

Tiada ulasan: