Selasa, 5 Januari 2010

MCA: Tiada pemilihan baru buat masa ini

Andrew Ong


Timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan parti itu tidak akan mengadakan pemilihan baru dalam masa terdekat ini.

Katanya, ia kerana hanya 13 anggota jawatankuasa pusat (CC) yang meletak jawatan, sedangkan perlembagaan parti menetapkan dua pertiga anggota (21) anggota CC perlu berbuat demikian untuk membolehkan pemilihan dilakukan.

Hanya hanya 13 daripada 31 anggota CC menghantar surat peletakan jawatan tanpa tarikh. Mereka terdiri daripada Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 penyokongnya.

Bagaimanapun, Chua tidak menolak kemungkinan pemilihan baru diadakan sekiranya lebih ramai anggota CC meletak jawatan dalam tempoh beberapa bulan selepas ini.

"Dalam bahasa mudah, sangat sukar untuk adakan pemilihan baru dalam bulan ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas selama satu jam untuk menghadapi situasi itu di ibu pejabat MCA, Kuala Lumpur.

Penyokong Liow dikatakan mahu memanfaatkan perasaan tidak puas hati terhadap kepemimpinan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat melalui pemilihan baru itu.

Dengan sokongan ketua gerakan wanitanya Chew Mei Fun serta ketua pemuda Wee Ka Siong, kumpulan penyokong Liow sebelum ini menetapkan tempoh 60 hari, bermula awal Disember, supaya pemilihan baru diadakan, didakwa untuk "menyelamatkan parti" yang bergolak sejak empat bulan lalu.

Tiada ulasan: