Selasa, 26 Januari 2010

Mangsa Kebakaran Menunggu Rumah PPRT

Oleh: ALIMAN KASSIM (sabahkini)

SETELAH lebih tujuh bulan rumahnya terbakar, mangsa, Martinah Maddo, 45, masih menanti janji Wakil Rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang untuk meluluskan sebuah rumah PPRT kepadanya.

Menurut Martina, rumahnya di Kampung Sungai Atas, Kunak terbakar pada 21 Jun 2009 dan dibenarkan tinggal sementara di Rumah Rehat Kerajaan di Pekan Kunak selama tiga minggu sebelum diarah berpindah ke Dewan Kunak Jaya berdekatan dengan rumah Mantan Adun Kunak, Datuk Jasa Datuk Haji Rauddah.

“Saya ada anak perempuan dan dewan berkenaan tidak sesuai untuk kediaman sementara kami kerana tidak mempunyai kemudahan asas. Saya terpaksa menumpang di bawah rumah jiran,” ujar Martina yang menyatakan beliau terpaksa meminta bantuan jirannya membaik pulih bekas kedai runcit yang tidak terbakar sebagai tempat tinggal sementara kerana Nilwan berjanji akan memastikan rumah PPRT tersebut siap pada Ogos 2009.


Namun sehingga kini, Martina masih tinggal di kedai runcit usang yang tidak sesuai untuk didiami beliau dan tiga orang anaknya yang masih bersekolah.

Martina yang membeli lot tanah di Kampung Sungai Atas dan membina rumah kayu pada 1989 tidak menyangka betapa sukarnya mendapatkan sebuah rumah PPRT dan terkejut menerima bantuan peralatan rumah daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) yang tidak dapat digunakan langsung kerana kekurangan perkakas rumah.

“Apa yang dapat saya lakukan kerana JPKAS hanya memberi sebuah tangki, pam air, segulung hos putih, 25 keping papan lapis, 25 keping zing, 15 kampit simen, satu pintu tandas dan paku dua kilogram,” ujar Martina yang hanya mampu menyimpan barangan tersebut di bawah pondok kecil kerana barangan tersebut hanya layak dibina kandang ayam dan bukannya untuk kediaman manusia.

Bagaimanapun kata Martina, beliau berterima kasih kepada Nilwan kerana menghulurkan RM1,000 kepada setiap keluarga ketika kebakaran dan meluluskan rumah PPRT kepadanya yang dijangka siap pada Ogos tahun lalu.

Namun atas sebab tertentu, sehingga kini rumah PPRT yang diluluskan kepadanya masih belum dibina kerana bekas rumahnya yang terbakar belum dibersihkan untuk pembinaan rumah PPRT.

Sehubungan itu, beliau merayu agar Pejabat Daerah Kunak tidak melengah-lengah permohonannya kerana ianya telah diluluskan Nilwan.

Martina turut memohon bantuan daripada Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Haji Kalbi, namun belum ada sebarang tindakan diambil setakat ini.

“Malu juga mahu cakap kerana YB Salleh hanya beri RM50 dan barang makanan untuk satu minggu ketika kami tinggal di Rumah Rehat Kerajaan. Selain daripada itu, saya tidak terima sebarang bantuan daripada Pejabat Parlimen,” kata Martina lagi.

Martina turut kesal kerana tiga jirannya yang rumah mereka turut terbakar masih menyewa dan ada yang menumpang di bawah rumah jiran kerana tidak mampu membayar sewa atau membina kembali rumah yang hangus terbakar.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Kunak, Citra Masadi, yang melawat mangsa melahirkan rasa kesal kerana para pemimpin Barisan Nasional gagal menunaikan janji mereka sehingga para pengundi menderita.

“Kalau tidak mampu tunaikan janji, jangan berjanji. Mereka hanya memikirkan diri mereka sendiri dan mengabaikan kebajikan mangsa yang selama ini menjadi kambing hitam politik untuk dimangsakan,” kata Citra yang menegaskan Adun dan Ahli Parlimen hanya mahu mencari publisiti namun gagal menunaikan janji.


Tiada ulasan: