Perdana Menteri Najib Razak telah silap apabila beliau mengatakan bahawa UMNO tidak terlibat dalam protes berkenaan dengan penggunaan perkataan "Allah" kerana memang orang UMNO terlibat dalam protes-protes ini.
Saya merujuk kepada sebuah laporan media oleh Malaysiakini yang melaporkan seperti berikut:
"Memulakan perhimpunan itu sejurus selepas solat Jumaat, Ketua Wira PERKASA Selangor, Arman Azha Abu Hanifah membacakan 'Deklarasi Masjid Negara' menuntut:
- Penganut Katholik menggunakan perkataan tuhan bagi menggantikan kalimah Allah dalam penerbitannya.
- Perkara berkaitan Islam mesti dibawa ke Mahkamah Syariah, bukan mahkamah sivil.
- Majlis Raja-raja Melayu perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mempertahankan agama dan umat Islam.
Bacaan deklarasi itu disambut teriakan takbir bertalu-talu daripada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut. Pada masa yang sama satu bendera merah bertulis 'Melayu' dalam warna hitam, dikibarkan bersama bendera berjalur tiga - merah, kuning dan hijau - mewakili Pekida."
Arman Azha Abu Hanifah, 35 tahun merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara. Beliau juga merupakan pentadbir kumpulan (group) Facebook Pemuda UMNO PJU yang diberi tajuk "@MB Pemuda Umno PJU" (http://www.facebook.com/group.php?gid=55835744051&ref=search&sid=691844174.1816758316..1).
Beliau mempunyai akaun facebook dan blogspotnya sendiri di http://www.facebook.com/armandpju dan http://armandpju.blogspot.com/, dan bekerja sebagai seorang pengurus cawangan Naza Motor yang juga merupakan seorang pencinta kereta mewah.
Sama ada beliau seorang yang betul-betul memperjuangkan hak orang Islam dan Melayu, saya serah kepada kebijaksanaan semua untuk menilai daripada tulisan dan gambar-gambar foto beliau.
Ini hanya salah seorang daripada ketua-ketua yang terlibat dalam protes-protes ini dan saya percaya bahawa sebahagian besar daripada mereka merupakan pemimpin-pemimpin UMNO di pelbagai peringkat dan sayap parti itu, sama ada di Pemuda, Wanita, Puteri UMNO di peringkat cawangan, bahagian ataupun negeri.
Justeru itu, adalah silap bahawa UMNO tidak harus dipersalahkan dalam isu ini. Sebenarnya, jika UMNO tidak terlibat dalam isu ini, hakikatnya ialah ahli-ahlinya dan pemimpin-pemimpinnya selama ini telah diketahui terlibat dalam menganjurkan protes-protes yang mengugat ketenteraman dan keharmonian agama di Malaysia.
Jika UMNO tidak harus dipersalahkan, maka UMNO dan Presidennya harus mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin mereka seperti Arman Azha bin Hj Abu Hanafiah yang terlibat secara langsung dalam protes ini.
Soalannya ialah, adakah Najib sedia berbuat demikian atau tidak?
*Kenyataan media oleh Lau Weng San selaku ADUN Kampung Tunku- DAP, Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan