KUALA TERENGGANU – Penduduk Taman Seri Desa Bukit Chendering disini, cemas dan resah kerana hidup mereka sentiasa diintai ‘bencana maut’, akibat tanah runtuh dan hakisan yang semakin ‘kronik’.
Namun laungan, jeritan dan teriakan mereka memohon pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan kerajaan Negeri untuk bertindak lebih masih tidak didengari dan mendapat perhatian sewajarnya.
Keresahan penduduk khususnya kepada 22 buah rumah teres dua tingkat tersebut seolah-olah diambang ‘maut’ dan kerajaan negeri membuat ‘pekak badak’ sahaja.
Petisyen rayuan penduduk terbabit kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim melalui surat bertarikh 1 Disember 2009, lalu dipandang sepi tanpa apa-apa tindakan lanjut.
Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pula tidak ada kesudahannya menghadapi krisis dalaman parti diawal perlantikan hingga sekarang.
Tinjauan mendapati penghuni di kediaman Taman Seri Desa Bukit Chendering dari lot 1636 hingga 1658 dan lot 1670 hingga 1673 menghadapi tanah runtuh yang semakin teruk.
Bahkan, rumah kediaman tersebut terlibat dengan hakisan tanah yang semakin teruk sejak kebelakangan ini kerana masalah hujan serta sistem perparitan tidak sempurna.
Seorang penghuninya, Puan Lee Ah Yoke, 48, mendakwa terancam serta bimbang kejadian yang tidak diingini bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Katanya, sebahagian lantai serta dinding rumah mengalami rekahan sejak lebih setahun lalu tetapi kini semakin ketara.
“Kami satu keluarga sangat takut sekarang, tidur malam tidak lena kerana bimbang dengan rekahan lantai dan dinding ini.
“Masa rekahan sikit-sikit kami tampal sendiri dan sekarang semakin besar dan banyak berlaku pada lantai dan dinding dapur,” jelasnya sambil menunjukkan rekahan tersebut.
Seorang warga emas, Encik Liew Tiong Poh, 72, merayu pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan segera mengambil langkah mengatasinya.
Katanya, hakisan yang berterusan setiap kali hujan lebat ini menyebabkan penduduk diambang maut pada bila-bila masa.
“Saya dan penduduk di sini (Taman Seri Desa) merayu kepada kerajaan tolong selamatkan kami.
“Saya orang tua dan jika berlaku kejadian ‘buruk’ (tanah runtuh) nyawa lebih 70 orang penghuni dalam bahaya,” ujarnya dengan nada resah.
Menurutnya, rekahan pada dinding serta lantai rumah di bahagian dapur menyebabkan tidak lena tidur malam terutama ketika berlaku hujan.
“Tuan, tolonglah selamatkan rumah saya dari runtuh dan siang malam saya tidak boleh tidur dengan selesa lagi.
“Setiap hari, saya angkut sikit-sikit bongkah batu buat benteng dan tudung tanah dengan kanvas sendiri untuk elak hakisan tanah.
“Kami orang tua tidak larat tetapi terpaksa buat sendiri kerana takutkan runtuhan berterusan,” jelas Puan Ng Geok Ting, seorang warga emas yang berumur 70 tahun.
Katanya, hakisan yang berlaku sedikit demi sedikit sejak lebih setahun lalu dan semakin ketara sekarang ini.
Menurut beliau, rekahan pada dinding serta lantai bahagian dapur rumah turut dialaminya kerana mendapan tanah.
Katanya, kejadian tersebut tidak pernah dibayangkan berlaku ketika menjadi penghuni di taman tersebut hampir 20 tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi juga telah meninjau ke lokasi terbabit pada 19 Disember 2009 lalu.
Beliau akan mengambil langkah segera bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Katanya, salinan aduan telah dihantar penduduk berkenaan kepada Menteri, Menteri Besar Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk yang diwakilinya.
“Kita (PAS) mahu kerajaan prihatin dengan nyawa 70 orang penghuni di Taman Seri Desa dan beberapa buah rumah kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang berada di bawah lereng juga terancam,” ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan