SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak) mahu ketua pesuruhjaya baru Datuk Abu Kasim Mohamed memulihkan kembali imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan bersifat bebas dan adil.
Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, Abu Kasim perlu turun padang dan membuat kajian maklum blas rakayat berhubung isu integriti dan rasuah dalam pentadbiran negara.
“SPRM perlu memastikan itu (pulih imej) dilakukan supaya tanggapan negatif rakyat dapat diubah demi kepentingan badan itu.
“Saya yakin dan percaya sekiranya kaedah dilaksanakan SPRM ia dapat menepis persepsi buruk rakyat terhadap profesion SPRM,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Nazree berkata, sekiranya SPRM mampu untuk membuktikan fungsinya sebagai sebuah badan anti rasuah yang benar-benar bebas, telus serta berkemampuan untuk mendakwa pihak-pihak yang terlibat dalam jenayah rasuah termasuk dalam kes-kes yang berprofil tinggi.
“Ini akan mengembalikan kepercayaan kepada rakyat negara ini amnya,” katanya.
Menurutnya, jawatankuasa yang diwujudkan bersama SPRM seperti Jawatankuasa Khas Parlimen dan Jawatankuasa Penilai Operasi SPRM perlu dioptimumkan fungsinya.
“Oleh itu, SPRM wajar mengambil langkah segera untuk mengumumkan secara menyeluruh individu yang terlibat dalam setiap jawatankuasa itu berfungsi bagi semak dan imbang perjalanan pentadbirannya kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, program pendidikan integriti dan anti korupsi SPRM perlu dirakyatkan terutamanya terhadap golongan pemimpin pentadbir masyarakat dan mahasiswa kerana budaya korupsi juga sudah mula menular ke dalam kampus-kampus universiti.
Dalam pada itu, beliau berkata, Gerak bersedia untuk terus bekerjasama dengan SPRM bagi tujuan membudayakan integriti dan anti korupsi di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan