Pengisian secara berperingkat mulai bulan depan
Oleh S Anand Kumar
KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang masih tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan tetap akan menggantikan secara berperingkat pengawal keselamatan warga asing mulai bulan ini.
Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni, berkata pihaknya sudah mula mengenal pasti anggota dan akan mencadangkan nama mereka kepada syarikat kawalan keselamatan bagi memudahkan proses pengambilan bekerja.
"Keahlian Rela bukan dihadkan kepada golongan tertentu, malah kita tahu golongan profesional juga menyertai pasukan ini.
"Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat rakyatnya mengisi kekosongan jawatan yang dikuasai warga asing di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Minggu lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, memberitahu Berita Harian perkhidmatan kira-kira 300,000 pengawal keselamatan warga asing akan ditamatkan secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini bagi memberi peluang kepada warga tempatan mengisi kekosongan jawatan dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, lebih sejuta anggota Rela dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) yang sudah melalui kursus asas pengendalian senjata api, akan menggantikan khidmat tenaga asing itu.
Kelmarin, Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib, berkata anggota berkenaan akan menerima gaji 10 peratus lebih tinggi berbanding kira-kira RM1,500 sebulan diperoleh pengawal keselamatan warga asing ketika ini.
Dalam pada itu, Zaidon berkata, pihaknya difahamkan anggota Rela yang diambil bekerja kemudian akan sekali lagi diberi latihan oleh syarikat kawalan keselamatan.
"Apabila mendaftar sebagai anggota Rela, mereka akan menjalani latihan asas selama tujuh hari yang mengandungi beberapa modul seperti latihan kawad, latihan jasmani dan undang-undang.
"Bagaimanapun, kita difahamkan selepas anggota Rela ini menjadi pengawal keselamatan, syarikat terbabit akan turut memberi mereka latihan, selain menyediakan pakaian seragam dan membincangkan soal gaji dan imbuhan masing-masing," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan