SABAH DAILY
Satu fail Akta Rahsia Rasmi didedahkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini. Hasil pendedahan itu, sebuah syarikat hartanah milik pemimpin Umno didakwa menipu 383 pemilik tanah dan 3,436 pembeli rumah di Bukit Cherakah.
Khalid menggesa orang-ramai yang telah tertipu supaya merujuk kepada dokumen ini, dan mendakwa syarikat terbabit ke muka pengadilan.
“Kita mendedahkan dokumen ini dengan tujuan membantu orang-ramai mendapat gambaran sebenar, bagaimana kejadian ini berlaku. Kerajaan negeri tidak akan ambil tindakan, tetapi kita menasihatkan orang-ramai supaya membawa kes ini ke pihak guaman,” kata Khalid.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesahkan projek perumahan Bandar Alam Perdana telah terbengkalai sejak 2006.
Projek yang diusahakan oleh syarikat Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn. Bhd. ini adalah milik bekas Exco Selangor Miskun Sutero, yang telah meninggal dunia dua tahun lalu.
Berdasarkan dokumen ini, 383 pemilik tanah dijanjikan pampasan RM360,000 seorang dan sebuah rumah setiap seorang.
Manakala 3,436 pembeli telah membeli 3,819 unit rumah dengan membayar wang pendahuluan kepada pihak bank. Perumahan ini dijangka siap pada 2002, malangnya projek ini terbengkalai.
Pemilik tanah tidak mendapat pampasan yang dijanjikan, manakala pembeli-pembeli terpaksa menanggung hutang bank.
“Tanah hilang, rumah tak dapat. Orang-ramai memberi harapan masalah ini dapat diselesaikan segera,” kata Khalid.
“Kerajaan negeri akan terbitkan risalah tentang kes ini yang boleh didapati laman sesawang Kerajaan Negeri Selangor, di Pejabat Daerah berdekatan dan Pejabat Menteri Besar pada Isnin ini,” tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan